7 Keutamaan Akan Dilaksanakan Bagi Pembangunan Kebudayaan Di Sabah

TUARAN: Kerajaan menetapkan tujuh keutamaan untuk dilaksanakan bagi  pembangunan kebudayaan yang ada di negeri ini, yang bermula sejak tahun 2021  hingga 2030, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Tujuh keutamaan itu ialah pendigitalan seni budaya atau eCulture; pelancongan budaya  bersepadu; pemuliharaan budaya; pengukuhan hubungan etnik; penyelidikan dan  dokumentasi budaya; pengembangan seni budaya dan perlindungan harta intelek. 

“Sebanyak tujuh keutamaan itu sejajar dengan inisiatif Sabah Maju Jaya dalam  pembangunan budaya pelbagai etnik di Sabah dan peranan itu dipertanggungjawabkan  kepada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah. 

“Kita mahu menerusi tujuh keutamaan ini semua badan kebudayaan dan komuniti  membangun bersama, menghayati dan seterusnya menjiwai nilai kebudayaan yang  mereka warisi dari generasi yang terdahulu dan diwariskan kepada generasi akan  datang,” katanya ketika merasmikan Duang Festival di Rumah Kebudayaan Rumpun  Bajausama di Kampung Lok Batik, di sini pada Ahad. 

Beliau berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), kerajaan telah  meluluskan empat (4) projek berimpak besar dengan peruntukan sebanyak  RM4,500,000.00 iaitu Projek Pemetaan Budaya 2021-2025 dan Pelan Pembangunan  Kebudayaan Negeri Sabah 2020 -2030,  

“Selain itu, projek meningkatkan produk pelancongan budaya Pusat Kebudayaan Murut  Sabah di Tenom dan projek meningkatkan infrastruktur Pusat Kebudayaan Sabah  Penampang. Kesemua projek ini sedang dalam proses pelaksanaan. 

“Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM9.5 juta kepada Lembaga Kebudayaan  Negeri Sabah (LKNS) dalam Belanjawan 2023 Sabah untuk melaksanakan pelbagai  program bagi memulihara kekayaan dan warisan seni budaya etnik negeri ini. 

“Ia termasuk Hentian Budaya (Cultural Pit-Stop) yang telah dirangka untuk  memperkasakan industri pelancongan berasaskan budaya dengan dua lokasi baharu di  Kota Belud dan Tawau,” katanya 

Ketua Menteri turut menyeru semua pemimpin masyarakat, jabatan dan agensi kerajaan  negeri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua lapisan masyarakat di negeri  ini agar terus memperkasa dan memelihara seni, budaya dan adat tradisi bangsa  dengan sebaik-baiknya.

Mengenai festival itu, Hajiji yang juga Presiden Persatuan Rumpun Bajausama Sabah,  berkata Duang Festival yang julung kali diadakan mampu menjadi wadah untuk  mengetengahkan budaya dan tradisi daripada kepelbagaian etnik di Sabah kepada  pengunjung dan generasi muda. 

“Insya Allah, festival ini akan dianjurkan setiap tahun pada bulan Februari dan telah  dimasukkan dalam kalendar pelancongan. Saya yakin festival ini dapat mengangkat  nama daerah Tuaran sebagai destinasi pelancongan yang menarik.  

“Selain Pusat kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, di Tuaran ini juga banyak  tempat-tempat menarik seperti Tembara River Cruise, Taman Buaya, Linangkit Cultural  Village, Rumah Terbalik, Rumah Semut dan banyak lagi di daerah Tamparuli dan Kiulu 

“Kita berasa bangga kerana di Sabah, kita mempunyai pelbagai budaya daripada 35  etnik dan 217 sub-etnik, dengan semuanya mempunyai budaya dan bahasa masing masing,” katanya. 

Hajiji juga berharap semua persatuan etnik di negeri ini akan terus membangunkan dan  memartabatkan budaya masing-masing bagi memastikan ia tidak pupus, sebaliknya  dapat dikenali ke peringkat antarabangsa. 

Dalam pada itu, beliau berkata kekayaan budaya adalah khazanah negeri yang amat  bernilai untuk terus dipertahankan sebagai sumber ekonomi negeri melalui industri pelancongan, industri seni kreatif, termasuklah industri kecil dan sederhana, berasaskan  komuniti di Sabah. 

“Dengan ketibaan pelancong yang semakin meningkat dan Sabah merekodkan seramai  1,012,119 pengunjung bagi tahun 2022, ini adalah satu peluang besar untuk semua  persatuan etnik memperkenalkan keunikan khazanah budaya masing-masing.  

“Di negara seperti Indonesia dan Thailand, industri kreatif, seni dan budaya adalah  pemacu ekonomi yang sangat tinggi. Kejayaan mereka ini perlu dicontohi untuk  membangunkan produk kepelbagaian budaya etnik yang ada di negeri ini,” katanya. 

Festival selama empat hari bermula Khamis lalu, menyaksikan pelbagai acara  keseniaan dan kebudayaan daripada masyarakat Bajausama seperti sepak manggis,  pertandingan tarian tradisi Limbai, pertandingan betitik, bintang soromas (suara emas)  dan acara kemuncak pertandingan Ratu Serimpak. 

Tamat