Pelan Tindakan Bersepadu perlu bagi mencapai sasaran aliran sains

KOTA KINABALU: Satu pelan tindakan bersepadu perlu diambil bagi mencapai sasaran  sekurang-kurangnya 40 peratus pelajar mengambil aliran Sains menjelang 2025 di  negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Sehubungan itu Ketua Menteri mahu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi  bersama Jabatan Pendidikan Sabah serta agensi yang berkaitan menghasilkan pelan  tindakan berkenaan. 

“Ini kerana kadar penglibatan pelajar di dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan  matematik (STEM) terutamanya sains tulen semakin menurun dan perkara ini  membimbangkan. Kita mahu menyediakan modal insan berkemahiran tinggi dalam  bidang teknikal, Sains dan Teknologi bagi memenuhi keperluan pekerjaan masa  hadapan.  

“Kadar penglibatan pelajar dalam hidang STEM pada tahun ini hanya 27 peratus, masih  jauh daripada sasaran kita untuk mencapai 60 peratus aliran Sains dan 40 aliran  Sastera atau 60:40. 

“Saya berharap KSTI, Jabatan Pendidikan Sabah dan semua agensi berkaitan dapat  melahirkan satu pelan tindakan bersepadu bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya  40 peratus pelajar mengambil bidang sains menjelang 2025,” katanya. 

Beliau berkata Pelan Strategik KSTI (2022-2025) telah digubal sebagai panduan dalam  pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif untuk memperkasakan ekosistem STIE atau  Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi di Sabah.  

“Dalam masa sama, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah turut merangka Pelan Strategik  STEM 2023-2025 yang merangkumi pelbagai program lonjakan STEM yang melibatkan  guru, pelajar, pentadbir sekolah serta ibu bapa.  

“Seperti mana yang kita sedia maklum, generasi muda merupakan pelapis utama  negara yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan modal insan yang mencukupi  dan berkemahiran tinggi untuk memacu pembangunan negeri dan negara. 

“Oleh itu, sudah tentunya ini berkait rapat dengan pendidikan STEM yang mana ia  adalah asas terpenting bagi penghasilan modal insan yang berkemahiran tinggi,”  katanya. 

Hajiji yang menyokong penuh penganjuran MASS itu berkata ia adalah sebagai  pengiktirafan dan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan para saintis, teknologis  dan inovator tempatan dalam memperkasakan dan mempromosikan bidang Sains,  Teknologi dan Inovasi (STI) khususnya di Sabah.  

Tamat