TYT, KM hadir Majlis Mengucapkan Selamat Berangkat Jemaah Haji Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menghadiri Majlis  Mengucapkan Selamat Berangkat kepada Jemaah Haji Negeri Sabah bagi Musim Haji  1447H/2026M di Dewan Kinabatangan III, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC),  pada Isnin. 

Turut berangkat menyempurnakan majlis itu ialah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang  Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman. 

Acara dimulakan dengan alunan zikir Asma’ul Husna serta bacaan doa yang dipimpin Mufti  Negeri Sabah, Sahibus Samahah Datuk Ustaz Haji Bungsu @ Aziz Haji Jaafar, sebelum  diteruskan dengan ucapan alu-aluan wakil pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) dan  perutusan khas Yang di-Pertua Negeri Sabah kepada para jemaah. 

Majlis kemudian diteruskan dengan sesi bersalaman Yang di-Pertua Negeri bersama para  jemaah haji selepas laungan azan. 

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri II/Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji  Masidi Manjun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Dr. Haji Mohd.Arifin  Mohd Arif, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk  Nizam Abu Bakar Titingan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar  Untong, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab dan Pengarah Eksekutif  Pengalaman Pelanggan, Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Mohamed Ameen Abdul Wahab. 

Bagi musim haji 1447/2026M, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan  keseluruhan jemaah seramai 1,195 orang di mana 507 orang terdiri daripada jemaah lelaki dan  688 orang jemaah wanita. 

Pada penerbangan hari ini, seramai 142 bakal haji berlepas dari Kota Kinabalu ke Lapangan  Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menjalani proses Makkah Route sebelum  berlepas ke Tanah Suci. 

Tamat