KM terima kunjungan hormat Setiausaha Persekutuan Sabah baharu

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima  kunjungan hormat Setiausaha Persekutuan Sabah yang baharu, Datuk Zul Hadi Ahmad,  di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, hari ini. 

Zul Hadi, 57, dilantik ke jawatan itu berkuat kuasa 16 Oktober lalu, menggantikan Datuk  Mohd Razali Wahab yang bersara wajib. 

Sebelum pelantikan itu, beliau berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Pertanian di  Kementerian Ekonomi, dengan pengalaman selama 32 tahun dalam bidang ekonomi,  kewangan serta dasar dan perancangan strategik. 

Hajiji mengucapkan tahniah kepada Zul Hadi atas pelantikan itu dan berharap beliau  dapat memperkukuh hubungan serta kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dengan  Kerajaan Persekutuan, khususnya membabitkan jabatan dan agensi Persekutuan di  Sabah. 

Beliau berkata, kerjasama berterusan antara kedua-dua pihak penting bagi memastikan  penyelarasan dasar serta pelaksanaan program dan projek pembangunan berjalan  lancar dan berkesan demi kepentingan rakyat. 

Hajiji turut berharap Zul Hadi dapat memainkan peranan berkesan sebagai penghubung  antara kedua-dua kerajaan bagi mempertingkatkan koordinasi, memperkemas  pelaksanaan agenda pembangunan negeri serta memastikan kesejahteraan rakyat  Sabah terus diberi keutamaan. 

Tamat