KM mahu pelajar Sabah ambil tahu usaha kerajaan, tidak terpengaruh cerita luar

TANJUNG MALIM (PERAK): Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor meminta pelajar Sabah, khususnya yang menuntut di tempat lain supaya mengambil  tahu apa yang dilaksanakan kerajaan di negeri mereka. 

Beliau berkata, mereka perlu mengambil tahu perkara itu secara peribadi dan tidak  terpengaruh dengan cerita di luar yang bercakap perkara tidak betul mengenai kerajaan  negeri. 

Katanya, pelajar perlu mengetahui perkara sebenar yang dilakukan kerajaan negeri  dalam membawa pembangunan dan menyelesaikan masalah dihadapi di Sabah. 

"Saya bersyukur kerana kita dapat membentuk semula kerajaan negeri dan kita akan  meneruskan dasar pembangunan yang kita rancang dan laksanakan. 

"Dalam hal ini, kita mahu penuntut tahu apa sebenarnya yang dilakukan oleh kerajaan.  Kita mesti ketahui secara peribadi, jangan kita terpengaruh dengan cerita di luar yang  menyatakan bermacam-macam, sedangkan kerajaan bersungguh-sungguh  melaksanakan program untuk rakyat kita di Sabah. 

"Percayalah, saya tahu ramai di sini datang dari pedalaman seperti Keningau, selain  Tawau, Sandakan dan seluruh Sabah, pastikan kita dapat maklumat tepat dan betul  mengenai program dan juga pembangunan yang sedang dilaksanakan," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Bantuan  Graduan Rindu Sabah /Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS SubFly) Tahun  2026 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak, di sini, pada Khamis. 

Inisiatif GRS SubFlY Tahun 2026 itu akan memberi manfaat secara langsung kepada  2,772 pelajar Sabah yang menuntut di UPSI pada masa ini. 

Ketua Menteri turut mengingatkan pelajar Sabah yang menamatkan pengajian sama  ada di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan di Semenanjung atau luar negara supaya  kembali berkhidmat di Sabah. 

"Jika ada peluang, baliklah untuk berkhidmat di Sabah, sumbangkan kepakaran sama  ada yang diperolehi di dalam atau luar negara kepada Sabah," katanya. 

Terdahulu, Hajiji menyatakan kebanggaannya berikutan ramai pelajar dari Sabah  melanjutkan pengajian di UPSI dengan seramai 2,772 orang sedang menuntut di  universiti itu ketika ini. 

"Saya dimaklumkan penuntut di sini begitu ramai dari Sabah iaitu 2,772 orang, ini hebat  sekali. Jadi apa yang penting pelajar dari Sabah di sini tumpukan perhatian khusus  dalam bidang pembelajaran kerana inilah kunci untuk berjaya pada masa akan datang. 

"Kerana itulah saya beri tumpuan khusus kepada pendidkan kerana bagi saya inilah  kunci utama untuk kita majukan negeri dan negara kita pada masa akan datang. 

"Saya yakin penuntut kita di sini rupanya anak Sabah banyak terlibat dalam aktiviti yang  bukan saja melonjakkan nama universiti, tapi juga Sabah, rupanya anak Sabah serba  boleh, ini amat membanggakan saya. 

"Saya pun tidak tahu bahawa begitu ramai rupanya, ada yang menjadi wakil negara kita  dalam bidang sukan, kebudayaan dan bidang lain, inilah yang harus kita teruskan,  bukan saja untuk individu atau anak kita sendiri, tapi juga untuk negeri dan negara kita," katanya. 

Dalam ucapannya, Hajiji turut menerangkan sedikit sebanyak mengenai usaha yang  sedang dilaksanakan kerajaan negeri, termasuk untuk menyelesaikan masalah air, jalan  raya dan elektrik yang dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh setahun dua dari  sekarang. 

Beliau turut menjelaskan mengenai usaha meningkatkan kutipan hasil negeri yang  membolehkan kerajaan memulangkan semula manfaat kepada rakyat menerusi  pelbagai inisiatif seperti bantuan pendidikan dan kebajikan rakyat. 

Tamat