KM terima kunjungan JK Induk Anugerah Sukan Negeri Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima  kunjungan hormat Jawatankuasa Induk Anugerah Sukan Negeri Sabah di pejabatnya di  Menara Kinabalu, di sini, pada Isnin. 

Kunjungan itu diketuai Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi  Kreatif Negeri, Datuk Nizam Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan yang turut  menyampaikan jemputan rasmi serta memberi taklimat kepada Ketua Menteri mengenai  penganjuran Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah 2026. 

Majlis berprestij yang diadakan setiap dua tahun sekali itu dijadualkan berlangsung pada  6 Februari depan di Magellan Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu. 

Menurut Nizam, sebanyak 16 kategori anugerah akan disampaikan pada majlis  berkenaan, bagi mengiktiraf kecemerlangan atlet Sabah yang mengharumkan nama  negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, termasuk Anugerah Tokoh Sukan  Negeri Sabah. 

Sementara itu, Hajiji merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada atlet Sabah  yang mewakili kontinjen Malaysia dan berjaya menyumbang keseluruhan 10 pingat  emas, 15 perak serta 15 gangsa pada Sukan PARA ASEAN (APG) Ke-13 yang  berlangsung di Nakhon Ratchasima, Thailand, dari 21 hingga 26 Januari 2026. 

Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan keupayaan atlet Sabah untuk bersaing di  pentas antarabangsa serta menjadi inspirasi kepada generasi muda dalam bidang  sukan. 

Dalam temasya itu, atlet Sabah berjaya meraih lima pingat emas, tujuh perak dan tiga  gangsa dalam acara olahraga; lima emas, lapan perak dan sembilan gangsa bagi acara  renang; satu gangsa dalam acara powerlifting; dua gangsa bagi acara ping pong; serta  masing-masing satu perak dan satu gangsa dalam acara lawn bowls (Demo Sukan). 

Dua atlet dari Tuaran, Abdul Halim Mohammad dan Ivan Jovic Suan, turut mencuri  tumpuan apabila masing-masing menyumbang lima dan tiga pingat emas menerusi  acara renang dan olahraga. Atlet para olahraga Sabah, Wong Kar Gee yang merangkul  emas acara lompat jauh lelaki T12, sekali gus mencipta rekod baharu APG dengan  lompatan sejauh 6.83 meter.

Turut hadir pada kunjungan itu ialah Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan  Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Seri Dr Anil Sandhu; Setiausaha Tetap  kementerian, Datuk Mansur Haji Asun; Pengerusi Lembaga Sukan Sabah, Encik Syed  Ahmad Syed Abas; Pengarah Majlis Sukan Negeri, Encik Mohd Asneh Mohd Noor; serta  Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah, Encik Terrance Edward Pudin. 

Tamat