LPPB bina 29,443 rumah kos rendah seluruh Sabah

KOTA KINABALU: Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berjaya  membina sebanyak 29,443 unit Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) di seluruh  Sabah sepanjang hampir enam dekad penubuhannya, sekali gus membuktikan peranan  strategik agensi itu dalam merealisasikan agenda perumahan rakyat negeri ini. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, selain pembinaan  perumahan awam kos rendah, LPPB turut memainkan peranan penting dalam  pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) serta projek-projek komersial yang  membantu kerajaan negeri merapatkan jurang sosio-ekonomi antara penduduk bandar  dan luar bandar secara lebih tersusun dan menyeluruh. 

Beliau memuji usaha berterusan LPPB yang konsisten melaksanakan projek  perumahan di seluruh Sabah, selaras dengan visi kerajaan negeri untuk memastikan  pembangunan yang inklusif, seimbang dan berimpak tinggi kepada rakyat. 

“Kerajaan Negeri amat menghargai peranan dan sumbangan besar LPPB sebagai  sebuah agensi utama kerajaan dalam sektor pembangunan perumahan dan bandar,”  katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-59 LPPB di Grand  Ballroom, The Magellan Sutera Resort, di sini, pada Sabtu. 

Beliau berkata, pencapaian berkenaan mencerminkan kematangan LPPB yang kini  melangkah ke usia 59 tahun, selain keupayaannya untuk terus kekal relevan, berdaya  saing dan berkesan dalam mendepani cabaran pembangunan perumahan semasa. 

“Yang paling penting, kita perlu memastikan LPPB bukan sahaja bertahan, malah terus  berkembang dan menyumbang secara signifikan kepada kesejahteraan rakyat Sabah,”  katanya  

Menurutnya, seiring matlamat Belanjawan Negeri Sabah 2026 yang memberi  penekanan kepada pemacuan pembangunan demi kesejahteraan rakyat, kerajaan  negeri melalui Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah terus memberi  perhatian serius terhadap penyediaan perumahan awam, termasuk perumahan kos  rendah dan rumah mampu milik di seluruh negeri.

Hajiji berkata, bagi tujuan itu, kerajaan negeri melalui LPPB akan meneruskan  pelaksanaan beberapa inisiatif utama, antaranya pembangunan Perumahan Awam Kos  Rendah di Sukau, Melalap, Beluran dan Pitas. 

Selain itu, katanya, pelaksanaan projek Rumah Mampu Milik (RMM) yang sedang dan  akan dibangunkan melibatkan 2,358 unit di lokasi strategik seperti Daerah Sandakan,  Papar dan Kota Kinabalu turut menjadi keutamaan. 

Selain sektor perumahan, Hajiji berkata salah satu mandat penting LPPB ialah  merancang dan membangunkan pekan-pekan baharu bagi merangsang pertumbuhan  ekonomi setempat serta memperkukuh pembangunan luar bandar. 

Katanya, pada masa ini, LPPB diperuntukkan untuk membangunkan sembilan pekan  baharu yang telah dikenal pasti, iaitu di Tongod, Paginatan, Merotai, Sungai Melayu  Sebatik, Sukau, Melalap, Ulu Dusun, Beluran dan Penangah. 

“Saya berharap pembangunan pekan-pekan baharu ini dapat dilaksanakan secara  terancang, mampan dan inklusif, selaras dengan keperluan rakyat serta potensi  ekonomi setempat,” katanya. 

Hajiji juga dimaklumkan LPPB kini sedang melaksanakan satu projek usahasama  dengan sebuah syarikat swasta yang melibatkan pemindahan penempatan setinggan  ke tapak penempatan semula secara lebih tersusun. 

Beliau percaya usaha itu mampu membantu kerajaan negeri menangani isu  penempatan setinggan secara lebih berkesan, sekali gus meningkatkan kualiti  kehidupan rakyat yang terlibat. 

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Menteri menegaskan komitmen kerajaan negeri  untuk membina lebih banyak rumah mampu milik, termasuk melalui pelbagai program  seperti Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) serta pembinaan perumahan kos rendah  oleh LPPB. 

Katanya, bagi tahun ini, kerajaan negeri akan menambah bilangan kuota Rumah Mesra  SMJ daripada 40 unit kepada 50 unit bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN). 

Menurutnya, penambahan 10 unit Rumah Mesra SMJ itu dikhaskan kepada golongan  berumur 40 tahun dan ke bawah, telah berumah tangga serta tidak memiliki rumah,  sebagai usaha membantu generasi muda memiliki kediaman sendiri. 

“Usaha ini penting bagi memenuhi keperluan rakyat termasuk di kawasan luar bandar  serta meningkatkan taraf hidup penduduk Sabah. 

"Setiap projek yang dibangunkan LPPB bukan sekadar struktur fizikal, sebaliknya  membawa harapan, masa depan serta kesejahteraan rakyat.Di situlah nilai sebenar  peranan LPPB, bukan sekadar membina bangunan, tetapi membina kehidupan dan  komuniti,” katanya. 

Tamat