Kerajaan Negeri lancar BESS Lahad Datu

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah melancarkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri  Lahad Datu (BESS Lahad Datu) bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik di Pantai  Timur serta meningkatkan kualiti hidup rakyat. 

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata pelancaran BESS Lahad Datu  di bawah seliaan Sabah Electricity adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri  untuk memastikan rakyat terus menikmati bekalan elektrik yang stabil, mencukupi dan mampu  milik. 

“Pencapaian ini merupakan satu pencapaian penting bagi Sabah kerana BESS Lahad Datu  merupakan fasiliti penyimpanan tenaga terbesar bukan sahaja di negara ini tetapi juga di Asia  Tenggara, yang direka untuk meningkatkan kestabilan grid, mengurangkan kebergantungan  kepada diesel serta menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui di negeri ini,” katanya. 

Hajiji berkata demikian pada majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri  Tun Musa Aman di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini. 

Teks ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri/ Menteri Kerja Raya dan  Utiliti Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam. 

Hajiji berkata selain BESS, beberapa langkah strategik turut dirancang dengan sebahagiannya  telah dilaksanakan di bawah Pelan Induk dan Pelan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP  2040) yang menjadi panduan utama arah tuju tenaga Sabah, dengan menekankan tiga prinsip  teras: keselamatan tenaga, kemampuan kos, dan kelestarian alam sekitar. 

“Semua inisiatif ini penting dalam memastikan kemajuan sosioekonomi serta kesejahteraan  rakyat di seluruh negeri,” katanya. 

Beliau berkata peralihan kuasa regulatori bekalan elektrik dan tenaga boleh diperbaharui  daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sabah pada Januari 2024 telah membolehkan negeri  menggubal dasar serta peraturannya sendiri dan mempercepatkan pelaksanaan projek tenaga  yang disesuaikan dengan keperluan setempat di bawah seliaan Suruhanjaya Tenaga Sabah  (ECoS). 

Kerajaan Negeri juga telah meluluskan hampir 1,000 megawatt (MW) kapasiti baharu  merangkumi pelbagai sumber termasuk hidro, solar dan angin, katanya. 

Bagi meningkatkan lagi penjanaan tenaga di Sabah, beliau berkata ECoS telah melancarkan  bidaan Solar Skala Besar (LSS) yang menyasarkan pembangunan loji jana kuasa solar antara  1MWac hingga 15MWac pada tahun 2024. 

Daripada bidaan tersebut, 15 projek dengan jumlah kapasiti 199MW – 113MW di Pantai Barat  dan 86MW di Pantai Timur telah diluluskan.

“Dengan projek sedia ada termasuk yang sedang dilaksanakan, kapasiti LSS di Sabah dijangka  melebihi 350MW menjelang 2027, iaitu bersamaan 23 peratus daripada keseluruhan campuran  kapasiti penjanaan elektrik negeri,” katanya. 

Satu lagi projek Solar Fotovolta Skala Besar (LSSPV) di Kota Marudu yang dijangka siap pada  2026 akan terus meningkatkan kapasiti tenaga Sabah, katanya. 

Hajiji turut berkata teknologi penyimpanan tenaga perlu diperkenalkan di beberapa lokasi  strategik bagi mengurangkan gangguan elektrik serta menyokong integrasi tenaga boleh  diperbaharui dengan grid utama. 

Beliau berkata Sabah Electricity sedang bekerjasama dengan Unit Pemimpin Pembangunan  Masyarakat (UPPM) untuk melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Pelan Hala Tuju Elektrifikasi  Tenaga Boleh Diperbaharui Sabah (SabahRE2) dan memperluas akses elektrik ke kawasan  luar bandar dan pedalaman. 

“Kerajaan Negeri kekal teguh dalam komitmennya untuk meningkatkan kebolehpercayaan,  kestabilan dan daya tahan jangka panjang sistem bekalan elektrik negeri. 

“Menyedari ia sebagai faktor penting dalam menarik dan mengekalkan pelaburan domestik dan  antarabangsa, kerajaan melalui kerjasama Sabah Electricity, ECoS dan agensi persekutuan  komited untuk membangunkan ekosistem tenaga yang selamat, futuristik dan mesra pelabur,”  katanya. 

Ketua Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Sabah Electricity atas kejayaan meraih  beberapa anugerah di Project Management Award (PMA) 2025, sebuah majlis penghargaan  peringkat serantau yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini. Sabah Electricity memenangi  beberapa anugerah melalui projek BESS yang diiktiraf atas impaknya yang tinggi dalam sektor  utiliti dan tenaga. 

Tamat