Pemuliharaan tanah bencah kekal sebagai keutamaan utama (Dwibahasa)

Versi Bahasa Melayu

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dalam usahanya untuk memulihara  tanah bencah Sabah, yang merupakan khazanah hidup yang mesti diurus dengan bijaksana  bukan sahaja untuk tujuan pemuliharaan, tetapi juga sebagai pemacu pembangunan mampan,  kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Beliau berkata melalui ekopelancongan, perikanan lestari, perdagangan karbon dan  perusahaan yang diterajui komuniti, tanah bencah mampu membuka peluang ekonomi sambil  melindungi alam semula jadi untuk generasi akan datang. 

Berucap pada Simposium Antarabangsa Kelima mengenai Pemuliharaan dan Pengurusan  Tanah Bencah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini, Hajiji  berkata Kerajaan Negeri Sabah sentiasa memberi penekanan besar terhadap kelestarian alam  sekitar, menyedari bahawa sumber semula jadi negeri merupakan asas kepada ekonomi,  budaya dan kesejahteraan masyarakat. 

“Sejak beberapa tahun, kita telah mengambil langkah proaktif untuk melindungi tanah bencah  dan ekosistem berkaitan. Antaranya termasuk pewartaan kawasan perlindungan, penetapan  tanah bencah seperti Kota Kinabalu Wetland sebagai Tapak Ramsar Berkepentingan  Antarabangsa, serta sokongan berterusan untuk pemuliharaan hutan bakau, tanah gambut dan  ekosistem pesisir pantai di seluruh negeri,” katanya. 

Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin  Madingkir. 

“Kita juga melaksanakan inisiatif di bawah pelan pembangunan kita, iaitu Pelan Hala Tuju Sabah  Maju Jaya, yang menekankan pertumbuhan mampan dan inklusif, dengan perlindungan alam  sekitar sebagai salah satu prinsip panduan. 

“Pendekatan kita bukan sahaja melindungi alam semula jadi semata-mata, tetapi juga  memastikan pemuliharaan dan pembangunan dapat berjalan seiring,” katanya. 

Beliau menambah bahawa Kerajaan Negeri, dengan kerjasama komuniti tempatan, NGO seperti  Sabah Wetlands Conservation Society (SWCS), institusi penyelidikan, dan rakan antarabangsa,  telah berjaya memulihkan ribuan hektar hutan bakau dan memperkenalkan projek ekopelancongan berasaskan komuniti. 

Projek-projek ini, katanya, bukan sahaja memperkasakan penduduk tempatan untuk mendapat  manfaat secara langsung daripada aktiviti pemuliharaan tetapi juga mengukuhkan program  pendidikan alam sekitar, serta menyokong penyelidikan saintifik dan pemantauan untuk  membimbing dasar serta keputusan berasaskan bukti dalam pengurusan tanah bencah.

“Pada masa yang sama, kita sedar bahawa cabaran masih wujud. Perubahan iklim,  pembandaran, dan amalan tidak lestari terus memberi tekanan kepada tanah bencah kita. 

“Inilah sebabnya Sabah giat melaksanakan penyelesaian berasaskan alam semula jadi, strategi  penyesuaian iklim, dan kerjasama antarabangsa untuk memastikan usaha pemuliharaan kita  kekal relevan dan berkesan,” katanya. 

Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri komited untuk memperluaskan kawasan pemuliharaan  tanah bencah, meningkatkan keupayaan penyelidikan dan pemantauan, serta melabur dalam  mekanisme pembiayaan mampan seperti perdagangan karbon dan pampasan biodiversiti. 

“Kita juga akan terus memperkukuh kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa, kerana  perlindungan tanah bencah bukanlah tanggungjawab sesebuah kerajaan atau organisasi  sahaja, tetapi satu amanah bersama seluruh dunia,” katanya. 

Beliau turut mengiktiraf komitmen SWCS yang sedang berusaha ke arah pencalonan dua lagi  Tapak Ramsar berkepentingan antarabangsa – iaitu Tanah Bencah Semenanjung Klias dan  Tanah Bencah Lahad Datu. 

“Usaha ini, apabila direalisasikan, akan terus mengangkat nama Sabah di peta dunia dalam  pemuliharaan tanah bencah. Visi Sabah jelas, iaitu menjadi model bagaimana sumber semula  jadi boleh diurus secara bertanggungjawab, di mana pemuliharaan menyokong pertumbuhan  ekonomi, dan rakyat kita dapat hidup harmoni dengan alam semula jadi,” katanya. 

Beliau turut berpuas hati bahawa simposium kali ini menyediakan tiga sesi: Sumber Marin  (Ekonomi Biru), Rejim Kebakaran Tanah Bencah/Antara Muka Bandar-Tanah Bencah, dan  Pemulihan serta Penjagaan Tanah Bencah, yang kesemuanya amat penting dan tepat pada  masanya. 

“Saya menggesa semua peserta untuk berkongsi idea, pengalaman, dan inovasi anda.  Belajarlah antara satu sama lain, dan marilah kita membina kerjasama yang akan terus  berkekalan selepas simposium ini berakhir. 

“Bersama-sama, kita dapat mencari cara baharu dan mampan untuk memulihara tanah bencah,  sambil memastikan ia kekal sebagai sumber kehidupan dan kemakmuran untuk generasi akan  datang,” katanya. 

Tamat

 

English Version

KOTA KINABALU: The State Government will not compromise in its efforts to conserve  Sabah’s wetlands, which are living treasures that must be managed wisely not only for  conservation but also as engines of sustainable development, said Chief Minister Datuk  Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

He said that through eco-tourism, sustainable fisheries, carbon trading, and community led enterprises, wetlands can bring economic opportunities while safeguarding nature  for future generations. 

Speaking at the 5th International Symposium on Conservation and Management of  Wetlands 2025 at the Sabah International Convention Centre (SICC) here today, Hajiji  said the Sabah State Government has always placed great importance on environmental  sustainability, recognising that the state’s natural resources are the foundation of the  economy, culture, and community well-being. 

“Over the years, we have taken proactive measures to safeguard our wetlands and  related ecosystems. These include the gazettement of protected areas, the designation  of wetlands such as the Kota Kinabalu Wetland as a Ramsar Site of International  Importance, and continuous support for the conservation of mangrove forests,  peatlands, and coastal ecosystems across the State,” he said. 

Assistant Minister to the Chief Minister, Datuk Abidin Madingkir, delivered his speech. 

“We are also implementing initiatives under our development plan, the Sabah Maju Jaya  Roadmap, which emphasises sustainable and inclusive growth, with environmental  protection as one of its guiding principles.  

“Our approach is not just about protecting nature for its own sake, but also about  ensuring that conservation and development can go hand in hand,” he said. 

He added that the State Government, in collaboration with local communities, NGOs  such as the Sabah Wetlands Conservation Society (SWCS), research institutions, and  international partners, has done much to restore thousands of hectares of mangrove  forests and introduced community-based eco-tourism projects.

These projects, he said, not only empowered local people to benefit directly from  conservation activities but also strengthened environmental education programmes, as  well as supported scientific research and monitoring to guide evidence-based policies  and decision-making for wetlands management. 

“At the same time, we recognise that challenges remain. Climate change, urbanisation,  and unsustainable practices continue to put pressure on our wetlands.  

“This is why Sabah is actively pursuing nature-based solutions, climate adaptation  strategies, and international collaborations to ensure our conservation efforts remain  relevant and effective,” he said. 

The Chief Minister said the State Government is committed to expanding wetland  conservation areas, enhancing its capacity for research and monitoring, and investing in  sustainable financing mechanisms such as carbon trading and biodiversity offsets.  

“We will also continue to strengthen partnerships at the regional and international levels,  because the protection of wetlands is not the responsibility of any single government or  organisation but a shared global duty,” he said. 

He also acknowledged the commitment of the SWCS, which is working towards the  nomination of two additional Ramsar Sites of international importance – the Klias  Peninsular Wetland and the Lahad Datu Wetland.  

“These efforts, once realised, will further elevate Sabah’s standing on the world map of  wetland conservation. Sabah’s vision is clear, which is to be a model of how natural  resources can be managed responsibly, where conservation supports economic growth, and where our people can thrive in harmony with nature,” he said. 

He was pleased to note that this symposium has prepared three sessions: Marine  Resource (Blue Economy), Wetland Fire-Regime/Wetland Urban Interface, and Wetland  Rehabilitation and Stewardship, all of which are both timely and crucial. 

“I urge all participants to share your ideas, your experiences, and your innovations.  Learn from one another, and let us build partnerships that will continue long after this  symposium ends.  

“Together, we can find new and sustainable ways to conserve wetlands, while ensuring  that they remain a source of life and prosperity for generations to come,” he said. 

Ends