Ketua Menteri: Transformasi pendidikan satu keperluan, bukan pilihan

KOTA KINABALU: Transformasi sistem pendidikan negeri adalah satu keperluan mendesak,  bukannya pilihan, dalam memastikan pelajar Sabah bersedia mendepani cabaran masa depan,  kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor  

Beliau berkata, data kajian terkini pada tahun 2024 menunjukkan hanya 65 peratus pelajar  memiliki kemahiran menyelesaikan masalah pada tahap baik atau sangat baik, manakala 72  peratus sahaja yakin mengaplikasikan pengetahuan sains dalam kehidupan harian. 

“Keadaan ini menunjukkan bahawa kita tidak boleh berpuas hati. Ramai pelajar masih bergelut  memahami konsep asas STEM. Maka transformasi pendidikan mesti menjadi agenda utama  semua pihak,” katanya ketika merasmikan Persidangan Penyelidikan Pendidikan Antarabangsa  "Astounding Research Innovation STEM Exploration" (ARISE) 2025 di Sabah International  Convention Centre (SICC) pada Rabu. 

Katanya, pendekatan pengajaran berasaskan penyelidikan dan inovasi perlu diperkasa serta  diarusperdanakan agar sistem pendidikan Sabah kekal relevan, inklusif dan berdaya saing. 

Beliau turut menyeru semua pendidik, institusi pendidikan, penyelidik dan penggubal dasar agar  terus meneroka dan menambah baik pendekatan pendidikan sesuai dengan era digital dan  keperluan industri masa kini. 

Hajiji berkata, Persidangan ARISE 2025 yang menghimpunkan lebih 600 peserta dari dalam  dan luar negara, termasuk United Kingdom, Sepanyol, Filipina, China dan Ireland, menjadi  platform penting dalam merintis kerjasama pendidikan bertaraf global. 

“Persidangan ini bukan sahaja menyatukan tenaga pendidik, penyelidik dan penggubal dasar  dari pelbagai negara, tetapi turut mendorong pemerkasaan pendidikan berteraskan sains,  teknologi dan budaya,” jelasnya. 

Beliau turut menegaskan kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)  serta pendidikan Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai pemacu kepada  pembangunan modal insan Sabah yang berkualiti, berdaya saing dan berinovasi. 

Dalam konteks itu katanya, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM41.75 juta  tahun ini kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Sabah Skills and  Training Centre (SSTC), dan Sabah Creative Economy and Innovation Centre untuk  pelaksanaan pelbagai program latihan dan pemerkasaan kemahiran. 

Menurutnya, antara program utama termasuk Kembara Sains Borneo, Karnival Sains Sabah,  Pertandingan Teknologi dan Inovasi, Festival Pendidikan STEM, Program Roboneo dan Sabah 

Screen Fest - yang menjadi medium penting menjana minat pelajar terhadap bidang teknologi  dan kejuruteraan. 

Hajiji juga menyambut baik pembentangan sebanyak 13 subtema persidangan, termasuk  pendidikan digital, pengajian Melayu, pendidikan Islam, bimbingan dan kaunseling, sains sukan,  seni visual serta pendidikan awal kanak-kanak. 

Beliau yakin perkongsian ilmu ini akan membawa kepada kerjasama antarabangsa yang mampu  meningkatkan profil penyelidik dan institusi pendidikan di Sabah ke peringkat global. 

“Warga pendidik adalah nadi dan tulang belakang kepada kejayaan transformasi pendidikan.  Saya menyeru agar mereka berani meneroka penyelidikan dan inovasi dalam pendidikan,”  katanya. 

Menurutnya, persidangan ini juga menjadi manifestasi iltizam kerajaan negeri menerusi Pelan  Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021–2025 yang mengutamakan pendidikan sebagai  pemangkin pembangunan mampan negeri. 

Tamat