Perkhidmatan feri KK-Labuan: Lonjak aktiviti ekonomi dan pelancongan

KOTA KINABALU: Perkhidmatan feri penumpang antara Kota Kinabalu dan Wilayah  Persekutuan Labuan kini kembali beroperasi selepas beberapa tahun terhenti, sekali gus  memperkukuh jaringan pengangkutan laut dan membuka semula laluan penting kepada mobiliti  rakyat serta perkembangan ekonomi rentas wilayah. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pengoperasian semula laluan  ini bukan hanya satu langkah logistik, tetapi juga isyarat jelas keprihatinan kerajaan terhadap  kebajikan rakyat di Sabah dan Labuan. 

“Perkhidmatan ini amat penting kepada rakyat. Ia bukan sekadar laluan perhubungan, tetapi  penghubung kekeluargaan, pendidikan, pelancongan dan perniagaan yang telah terjalin sejak  sekian lama,” katanya pada Majlis Pelancaran Jeti dan Perasmian Feri Penumpang Kota  Kinabalu–Labuan di Pelabuhan Kota Kinabalu pada Selasa. 

Menurutnya, gangguan perkhidmatan yang berlaku sebelum ini disebabkan beberapa faktor  seperti struktur jeti yang tidak selamat, penarikan subsidi minyak kepada pengusaha serta kesan  pandemik COVID-19, yang mengganggu kesinambungan mobiliti rakyat. 

Katanya, sebagai langkah penyelesaian segera, terminal feri dipindahkan dari Jesselton Point  ke Pelabuhan Kota Kinabalu, dengan pengurusan operasi kini dikendalikan sepenuhnya oleh  pihak Pelabuhan Kota Kinabalu.  

"Projek ini turut menerima peruntukan RM1.3 juta daripada Kementerian Wilayah Persekutuan  bagi kerja-kerja penambahbaikan. 

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat termasuk Pejabat  Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (PHEDNP), Lembaga Pelabuhan-Pelabugan Sabah  (LPPS), Kementerian Kerja Raya, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kumpulan Suria yang  telah berganding bahu merealisasikan inisiatif ini,” katanya. 

Hajiji berkata, perkhidmatan feri ini dijangka memberi impak positif terhadap sektor pelancongan  negeri, terutama menjelang Tahun Melawat Sabah 2026. 

"Ia juga membuka peluang baharu dalam bidang perdagangan dan pelaburan antara Sabah dan  Labuan", katanya. 

Beliau menegaskan bahawa hubungan antara Sabah dan Labuan tidak hanya terbatas kepada  aspek geografi, tetapi turut mencakupi sejarah, budaya dan hubungan sosial yang mendalam,  menjadikan laluan ini sangat signifikan kepada rakyat kedua-dua wilayah.

Menurutnya, ramai rakyat Sabah bekerja dan menetap di Labuan, dan sebaliknya. Justeru,  sambungan semula laluan ini amat bermakna kepada ramai pihak. 

Katanya, dengan beroperasinya semula perkhidmatan ini, rakyat kini mempunyai lebih banyak  pilihan pengangkutan – sama ada menggunakan laluan udara, jalan darat ke Menumbok atau  terus melalui feri ekspres dari Kota Kinabalu ke Labuan seperti sebelum ini. 

Hajiji berkata, pelancaran ini menandakan permulaan kepada satu rangka kerja pengangkutan  laut yang lebih kukuh, cekap dan lestari, sesuai dengan aspirasi negeri untuk menyediakan  kemudahan mesra rakyat dan mesra alam kepada generasi akan datang. 

Beliau memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri komited untuk memastikan tiada rakyat yang  terpinggir akibat kekangan logistik, dan pembangunan infrastruktur akan terus dipacu demi  kemajuan inklusif. 

“Semoga jeti dan perkhidmatan feri ini menjadi jambatan yang menghubungkan bukan sahaja  wilayah, tetapi juga silaturahim, peluang ekonomi dan harapan masa depan rakyat,” katanya. 

Tamat