Hajiji Tegas jaga suara Sabah: Pimpinan GRS akan tentukan Hala Tuju Gabungan PRN

KUNAK: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menghormati pandangan  Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim mengenai langkah memastikan  kestabilan politik di Sabah pada pertemuan mereka di Tawau pada Ahad. 

Ia berkaitan hasrat PM selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) untuk melihat Gabungan  Rakyat Sabah (GRS) dapat bersama dengan PH dan Barisan Nasional (BN) dalam kerjasama  menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17). 

Katanya, GRS tidak menghadapi masalah untuk bekerjasama, namun menjelaskan bahawa  perkara itu perlu diputuskan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) gabungan berkenaan terlebih dahulu. 

“Saya berjumpa dengan Perdana Menteri dan kita amat menghormati pandangan serta nasihat  beliau mengenai macam mana untuk mewujudkan kestabilan politik di Sabah kerana kalau stabil  kita boleh maju dan melaksanakan pelbagai pembangunam untuk rakyat dan kita menghormati  itu. 

“Dalam konteks kerjasama, kita tiada masalah kerana kerajaan negeri hari ini adalah GRS-PH  Plus. Tapi, apa pun keputusan kita pada PRN nanti, kita akan rujuk kepada Ahli Majlis Tertinggi  GRS untuk memutuskan. 

“Tapi saya menyatakan kepada Perdana Menteri bahawa di Sabah kita perlu melihat aspirasi  tempatan untuk mewujudkan persefahaman politik untuk maju ke depan,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Bersama Ketua Menteri:  Membina Masa Depan Kunak, di Padang Pekan Kunak pada Isnin. 

Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali;  Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri  Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib; Ahli Dewan  Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Norazlinah Arif dan Setiausaha Kerajaan Negeri  Sabah, Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar Untong. 

Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis itu, Hajiji mengulangi pendiriannya yang mahu GRS  mengetuai cabaran kerajaan negeri bagi menghadapi PRN17. 

Katanya, beliau merasai kehendak rakyat negeri ini yang mahu supaya kerajaan negeri diketuai  oleh parti tempatan, khususnya menerusi GRS selaku satu-satunya gabungan politik  berasaskan parti tempatan di Sabah.

Beliau berkata, pencapaian kerajaan negeri yang diketuai GRS ketika ini sudah terbukti,  termasuk dari segi pembangunan ekonomi yang wajar terus ditingkatkan melalui mandat baharu  daripada rakyat melalui PRN17 nanti. 

“Banyak inisiatif kita laksanakan di seluruh Sabah yang cukup baik untuk masa depan bukan  saja kepada pembangunan Sabah, tapi untuk membangunkan ekonomi kita keseluruhannya. 

“Saya bangga kerana kita mempunyai satu pasukan mantap dalam kerajaan dan rakyat  memberikan sokongan padu. Kita mesti belajar daripada sejarah politik Sabah, kalau asyik  gaduh, kita akan berpecah. 

“Atas sebab itu saya mahu GRS menjadi ketua pada PRN nanti, saya merasai denyut nadi  rakyat kepada kita. Aspirasi mereka mahukan supaya kerajaan diketuai oleh sebuah parti  tempatan di Sabah. 

“Kita jangan fikir lain lagi, kita mesti pastikan sokongan kepada kerajaan hari ini yang sudah kita  nampak bukti pencapaiannya,” katanya. 

Hajiji berkata pencapaian dilakar kerajaan negeri pimpinannya tidak pernah berlaku dalam  kerajaan terdahulu, antaranya Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS  yang memberi banyak manfaat kepada Sabah. 

Katanya, banyak yang diperolehi Sabah melalui perjanjian itu seperti 20 peratus pegangan  dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang dan projek Sabah Ammonia Urea  (SAMUR) di Sipitang. 

“Banyak yang kita dapat ini, ada lagi masih dirunding dengan PETRONAS, dulu mana ada.  Kalau kita runding dengan baik, PETRONAS beri kita peluang majukan minyak dan gas di  Sabah,” katanya. 

Beliau berkata, pencapaian kerajaan pimpinannya tetap menjadi keutamaan meskipun dirinya  menjadi sasaran serangan fitnah, termasuk dianggap sebagai seorang pemimpin yang lemah. 

“Walaupun tiap hari difitnah, ada yang kata apa itu Hajiji lemah lembut, sentimental. Tapi belum  tahu siapa Hajiji, tidak pandai takut, kita lawan kerana saya tahu rakyat di belakang GRS,”  katanya. 

Pada majis itu, Hajiji turut mengumumkan penyerahan tanah Lembaga Pembangunan  Perumahan dan Bandar (LPPB) sebagai sebagai rizab perkampungan bagi Kampung Kunak  Jaya, Bagian dan Selamat. 

Beliau turut mengumumkan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM1.2 juta untuk membina  kemudahan jeti di Kampung Pangkalan seperti disuarakan Norazlinah selaku wakil rakyat  Kunak. 

Hajiji yang juga Pengerusi GRS turut meminta rakyat Kunak supaya meneruskan sokongan  kepada Norazlinah dan memastikan kemenangan GRS pada PRN17 demi kesinambungan  pembangunan di daerah ini. 

Tamat