Kerajaan teguh perkasa perkhidmatan awam & pembangunan rakyat

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menzahirkan komitmen teguh untuk terus  memperkasa penyampaian perkhidmatan awam serta memperluas manfaat  pembangunan kepada seluruh rakyat melalui pendekatan Malaysia MADANI, kata  Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Beliau menegaskan bahawa penjawat awam merupakan tulang belakang kepada  kejayaan pembangunan negeri dan pelaksanaan dasar kerajaan, justeru peranan  mereka perlu sentiasa disulam dengan integriti, kecekapan, dan semangat  tanggungjawab tinggi. 

“Rakyat sedang memerhati. Tingkah laku, tutur kata dan layanan kita kepada rakyat  mencerminkan sistem penyampaian kerajaan hari ini.  

"Justeru, penjawat awam harus menjiwai prinsip-prinsip MADANI – Kemampanan,  Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan – bukan sekadar sebagai  slogan, tetapi dalam akhlak dan budaya kerja,” katanya dalam Program Jelajah Taat  Setia MADANI Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada  Jumaat. 

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, yang  menyampaikan amanat kepada warga perkhidmatan awam Sabah sebagai sebahagian  daripada program nasional Jelajah Taat Setia MADANI. 

Menurut Hajiji, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan telah  membuahkan pelbagai inisiatif untuk kesejahteraan rakyat Sabah, termasuk Program  Madani Rakyat 2024: Sayangi Sabah yang menarik hampir 485,000 pengunjung. 

Pembentukan 219 Komuniti Madani Sabah dengan peruntukan RM657,000, Inisiatif  Ehsan@KUSKOP di tiga daerah sasaran iaitu Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat  selain pelbagai wacana dan forum pendidikan untuk memperluas pemahaman Malaysia  MADANI. 

Di peringkat negeri, Hajiji menegaskan kerajaan terus menyalurkan pelbagai bentuk  bantuan, khususnya kepada golongan B40 dan pelajar, antaranya ialah Bantuan  Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Komputer (BAIK), dan subsidi penerbangan (GRS SUBFLY) sebanyak RM600 kepada pelajar Sabah yang belajar di Semenanjung dan  Sarawak.

Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) sebanyak RM300;  Pembinaan 3,000 unit Rumah Mesra SMJ bernilai RM250 juta dan Program Sentuhan  Kasih Rakyat (SYUKUR) melibatkan bantuan tunai RM300 sebulan bermula awal tahun  sehingga akhir tahun kepada 100,000 Ketua Isi Rumah miskin dan miskin tegar di  Sabah. 

Menyentuh aspek pembangunan modal insan, beliau memaklumkan bahawa dana  Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah telah ditingkatkan secara signifikan daripada RM55  juta pada 2022 kepada RM128 juta pada tahun 2025. 

“Sokongan kepada anak-anak Sabah untuk melanjutkan pengajian bukan sahaja soal  pendidikan, tetapi merupakan pelaburan jangka panjang untuk melahirkan pemimpin  masa depan dan tenaga kerja berdaya saing,” katanya. 

Hajiji turut menyeru kepada 21,989 penjawat awam negeri dan 126,677 penjawat awam  Persekutuan di Sabah agar menjadi pemudah cara kepada rakyat dalam menyampaikan  maklumat dasar dan pelaksanaan inisiatif kerajaan. 

“Sampaikan mesej kerajaan hingga ke akar umbi. Biar rakyat tahu bahawa kerajaan  tidak hanya merancang tetapi melaksana banyak inisiatif pembangunan demi  kesejahteraan negeri dan rakyat. Perkhidmatan yang diberikan mesti pantas, cekap, dan  berintegriti,” katanya. 

Beliau turut menggesa seluruh rakyat Sabah untuk mengetepikan perbezaan politik dan  terus mengukuhkan perpaduan demi kemajuan negeri. 

“Kestabilan politik adalah asas kepada kemakmuran. Marilah kita bersama melangkah  ke hadapan dalam semangat solidariti, mengutamakan perpaduan dan pembaharuan  komitmen untuk masa depan Sabah yang lebih gemilang,” tegasnya. 

Tamat