Pelancongan Berasaskan Komuniti pacu kedatangan pelancong ke Sabah

KIULU: Sektor pelancongan di Sabah terus mencatat pencapaian memberangsangkan  dengan sumbangan ketara daripada Pelancongan Berasaskan Komuniti (CoBT),  terutamanya di kawasan pedalaman negeri ini, seperti Kiulu, kata Ketua Menteri, Datuk  Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, 

Katanya, pelancongan merupakan antara teras penting dalam Hala Tuju Sabah Maju  Jaya (SMJ), dan Kiulu muncul sebagai salah satu perintis utama dalam pembangunan  CoBT. 

Beliau berkata, jumlah keseluruhan hasil negeri daripada CoBT meningkat kepada RM7  juta pada tahun 2024, berbanding RM6.7 juta pada tahun 2023 daripada 18 daerah aktif.  

“Saya mahu CoBT dibangunkan secara aktif kerana potensinya dalam mengembangkan  dan menjana ekonomi di kawasan pedalaman negeri ini”, katanya pada perasmian  Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran Tahun 2025 di Dewan Masyarakat Kiulu  pada Selasa. 

Hajiji berkata, Sabah menerima seramai 923,709 pelancong pada suku pertama tahun  2025, iaitu sekitar 26 peratus daripada sasaran keseluruhan 3.5 juta pelawat tahun ini.  

“Saya yakin sasaran ini bukan sahaja mampu dicapai, tetapi juga berpotensi untuk  melebihi sasaran seperti prestasi pada 2024 dengan kehadiran 3.2 juta pelawat  berbanding sasaran awal seramai 3 juta pelancong,” katanya. 

Beliau turut menekankan pentingnya kemudahan infrastruktur luar bandar  dipertingkatkan sebagai asas untuk menyokong pertumbuhan pelancongan dan  pertanian.  

Katanya, infrastruktur yang baik bukan sahaja memberi keselesaan kepada rakyat  tempatan, malah menjadi tarikan utama kepada pelancong asing dan domestik. 

Hajiji menyeru rakyat agar terus menyokong usaha kerajaan dalam memperkukuh  pembangunan negeri, khususnya dalam sektor pelancongan yang menjadi pemangkin  utama kepada ekonomi Sabah.

“Kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kita. Pembangunan dan  pertumbuhan ekonomi yang mampan penting bagi menjamin kemakmuran dan  kesejahteraan negeri ini”, tegasnya. 

Beliau turut merakamkan tahniah kepada empat persatuan CoBT di negeri ini yang  menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan empat universiti serta  satu persatuan pelancongan dari Taiwan, termasuk Persatuan Pelancongan Kiulu.  

Katanya, tiga lagi CoBT ialah Persatuan Pelancongan Tambunan, Persatuan  Pengusaha Kopi Sabah dan Persatuan Komuniti Wanita Kampung Tambatuon,  Kadamaian Kota Belud. 

Menurutnya, kolaborasi ini dijangka membawa manfaat besar dalam pemindahan ilmu  dan pemerkasaan komuniti pelancongan setempat. 

“Daerah Kecil Kiulu seharusnya memanfaatkan sepenuhnya potensinya dalam  pelancongan dan pertanian sebagai pemangkin ekonomi kerana daerah ini mempunyai  antara pengendali CoBT di negeri ini”, katanya. 

Hajiji berkata, Persidangan Pelancongan Berasaskan Komuniti akan dianjurkan buat  pertama kali oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP)  dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Sabah pada bulan Jun ini di Kota Kinabalu,  sebagai satu lagi langkah strategik dalam memperkukuh sektor pelancongan Sabah. 

Ketua Menteri turut meluluskan peruntukan sebanyak RM1.1 juta untuk melaksanakan  beberapa projek pembangunan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu.  Antaranya pembinaan tempat letak kereta Pekan Kiulu, pembinaan jalanraya ke  Kampung Kitapol dan projek bekalan air graviti Kampung Lopot. 

“Kiulu mesti dibangunkan dan aspirasi rakyat yang mahukan pembangunan berterusan  dan kesejahteraan mereka mesti kita bela dan bantu”, katanya. 

Hajiji turut mengisytiharkan Dewan Masyarakat Kiulu kini dinamakan sebagai Dewan  Masyarakat OKK Rampas. 

Tamat