Pembangunan infrastruktur asas & utiliti perlu perhatian khusus

KOTA KINABALU: Pengukuhan infrastruktur asas dan utiliti adalah salah satu aspek  pembangunan yang kritikal dan memerlukan perhatian khusus di Sabah, kata Ketua  Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Oleh itu beliau mahu kerajaan Persekutuan memberi keutamaan kepada pembangunan  infrastruktur asas dan utiliti di negeri ini dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK 13). 

“Penyediaan utiliti asas seperti bekalan air bersih dan elektrik yang lengkap,  terutamanya di kawasan luar bandar, adalah aspek penting dalam usaha meningkatkan  taraf hidup rakyat, selain dapat merangsang pelbagai aktiviti seperti pertumbuhan  ekonomi dan pelaburan. 

“Ini penting bagi mencipta persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan sosioekonomi  yang mampan di Sabah”, katanya pada Sesi Libat Urus RMK-13 Negeri Sabah  Peringkat Persekutuan Bersama Kementerian Ekonomi di The Pacific Sutera Hotel pada  Khamis. 

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri  Kerja Raya, Datuk lr. Shahelmey Yahya. 

Hajiji berkata, jurang pembangunan yang signifikan antara bandar dan luar bandar di  Sabah merupakan cabaran yang perlu diatasi secara kolektif.  

“Kerajaan negeri percaya bahawa pembangunan yang seimbang adalah kunci kepada  kesejahteraan masyarakat. Ini seiring dengan aspirasi kerajaan negeri untuk  memastikan setiap rakyat, tanpa mengira lokasi geografi, dapat menikmati manfaat  daripada pembangunan yang dilaksanakan,” katanya.  

Sehubungan itu beliau berharap agar inisiatif kerajaan Persekutuan untuk merapatkan  jurang pembangunan antara wilayah dan memperkukuhkan pembangunan  sosioekonomi di Sabah, seperti yang dilaksanakan dalam RMK-12, dapat diteruskan  dan diperkasakan lagi melalui RMK-13.  

“Dengan kerjasama berterusan antara kerajaan Persekutusan dan negeri dalam  merealisasikan usaha ini, saya yakin kita mampu menyediakan peluang yang setara  kepada semua rakyat Sabah untuk menikmati kemajuan dan kesejahteraan yang lebih  baik”, katanya. 

Dalam pada itu, Hajiji berkata Sabah merupakan penyumbang keenam kepada  Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) nasional dengan nilai sebanyak RM83.2 billion  atau 5.3 peratus daripada keseluruhan KDNK negara pada tahun 2023.  

Menurutnya, dengan potensi ekonomi yang luas dan sumber daya yang tersedia, Sabah  sebenarnya mempunyai kapasiti untuk meningkatkan lagi prestasi ekonomi negeri dan  mampu memberikan sumbangan yang lebih signifikan kepada KDNK nasional.  

Justeru katanya, bagi memperkasa ekonomi negeri, tumpuan utama kerajaan kini  adalah untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi perkembangan sektor  perniagaan dan pelaburan serta memacu aktiviti ekonomi berimpak tinggi.  

‘Dalam usaha mencapai matlamat ini, penekanan diberikan bagi membangunkan lebih  banyak aktiviti hiliran dalam industri-industri utama, termasuk biojisim, kelapa sawit serta  minyak dan gas. Dengan menggalakkan pengembangan sektor-sektor ini, Sabah  berpotensi untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf  hidup rakyatnya”, tegasnya. 

Dalam konteks penyediaan inisiatif dan projek pembangunan di bawah RMK-13, beliau  amat berharap agar kementerian, jabatan dan agensi negeri Sabah dapat dilibatkan  secara lebih proaktif, bermula seawal fasa perancangan projek.  

“Dengan penglibatan awal ini, kita dapat memastikan pelaksanaan projek yang benar benar memenuhi keperluan negeri dapat diberi keutamaan.  

“Selain itu, kolaborasi bersama agensi negeri dalam menentukan projek pembangunan  di bawah biayaan Persekutuan juga dapat meningkatkan potensi kebolehlaksanaan  projek kerana isu-isu seperti ketersediaan tapak dan utiliti, serta cadangan intervensi  yang sesuai dapat dikenal pasti di peringkat awal.  

“Dengan penyelarasan bersama, kita dapat memastikan setiap projek pembangunan  yang dilaksanakan di Sabah berjalan dengan lancar dan mencapai matlamat yang  ditetapkan”, katanya. 

Tamat