RM70 juta untuk badan keagamaan bukan Islam, sekolah mubaligh & persendirian tahun 2025

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM70 juta iaitu  kenaikan sebanyak RM13.25 juta untuk pemberian bantuan kepada badan-badan  keagamaan bukan Islam, sekolah-sekolah mubaligh dan persendirian di negeri ini pada  tahun 2025, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, peruntukan pada tahun hadapan meningkat berbanding pada tahun 2024 iaitu  sebanyak RM56.75 juta.  

Beliau berharap bantuan itu dapat meringankan beban kewangan pihak sekolah dan  badan-badan keagamaan yang terlibat dalam usaha memastikan fasiliti sentiasa berada  dalam keadaan kondusif, selamat dan selesa. 

“Kerajaan Negeri komited dan sentiasa mengamalkan dasar keadilan dan kesaksamaan  dalam semua aspek untuk membantu rakyat tanpa mengira kaum dan agama demi  mengekalkan keharmonian masyarakat di negeri ini”, katanya pada Majlis Perasmian  Pembukaan Sambutan Perayaan Krismas Kota Kinabalu (KKCC) Tahun 2024 di  Padang Merdeka pada Selasa. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I/ Menteri Pertanian,  Perikanan dan Industri Makanan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G.Kitingan. 

Hajiji menyeru semua masyarakat terus mengekalkan keamanan, keharmonian dan  kesefahaman yang dinikmati oleh rakyat pelbagai kaum di Sabah dan terus menjadi  contoh di negara ini.  

Beliau juga menyeru rakyat Sabah terus mengamalkan cinta kasih kepada sesama umat  manusia sampai selama-lamanya. Sesungguhnya, keharmonian di kalangan  masyarakat adalah nadi kepada kejayaan aspirasi Kerajaan Sabah Maju Jaya.  

“Saya yakin sambutan Perayaan Krismas yang diadakan selama 4 hari ini adalah  pemangkin kepada kesefahaman dan keharmonian antara pelbagai lapisan  masyarakat. Saya berharap semua aktiviti yang dijalankan di sepanjang sambutan ini  diterima dan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua golongan masyarakat”, katanya.  

Katanya, sambutan KKCC kali yang Ke-19, tahun ini yang bertemakan “Kasih Melalui  Tindakan” (Love in Action) amat tepat khususnya di negeri Sabah yang mempunyai  rakyat pelbagai kaum dan agama. 

“Tema itu amat disokong kerana ia mendorong kita untuk saling mengasihi sesama,  bukan hanya setakat bercakap mengenai kasih tetapi menterjemahkan dan  menunjukkan kasih itu melalui tindakan. Kasih di kalangan masyarakat pelbagai suku,  bangsa, dan agama ini amat penting untuk kesejahteraan, kemakmuran, dan keamanan  negeri Sabah yang kita cintai ini”, tegasnya. 

Hajiji memuji usaha kreatif dan kerjasama pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini yang  telah terlibat dalam menghasilkan kalung manik buatan tangan sempena majlis  sambutan itu. Kerjasama ini menunjukkan eratnya perpaduan dalam kalangan rakyat  tanpa mengira bangsa dan agama.  

“Marilah kita bersama-sama berganding bahu dan bekerja keras agar negeri ini terus  maju jaya.  

“Selamat menyambut Hari Krismas kepada semua masyarakat Kristian dan selamat  Tahun Baharu 2025 kepada seluruh rakyat negeri ini”, katanya. 

Tamat