Dakwah diperhebatkan dengan penggunaan teknologi masa kini

KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) perlu memanfaatkan  sepenuhnya penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terutama dalam  bidang dakwah dan pendidikan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji  Noor. 

Beliau berkata dakwah boleh disampaikan dengan lebih efektif jika pendakwah dan  pertubuhan Islam terus memanfaatkan penggunaan ICT. 

“Oleh itu, dalam era teknologi masa kini, saya berharap USIA akan memanfaatkan  sepenuhnya kemudahan itu khususnya dalam siri dakwah mereka. Saya yakin teknologi  serba canggih masa ini menyediakan banyak ruang untuk berdakwah secara  bersepadu dan pemerolehan ilmu serta maklumat secara pantas. 

“Kita perlu meneroka pelbagai disiplin ilmu seperti sains dan teknologi agar usaha  dakwah yang dilakukan dapat dimantapkan dan menjadikan kita lebih proaktif dan  inovatif.  

“Kepelbagaian ilmu seperti ini akan mengupayakan kita untuk memberi kefahaman  dalam menjayakan misi kita kepada golongan sasaran dengan lebih berkesan dan  berkualiti,” katanya. 

Beliau berkata demikian sempena Majlis Perhimpunan Agung Tahunan Perwakilan  Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Ke-38 bagi Tahun 2023, di sini pada Jumaat. 

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Kerja  Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya. 

Beliau berkata, kekuatan ahli di senua daerah di seluruh negeri menzahirkan betapa  USIA bukan setakat sebuah badan bukan kerajaan atau NGO Islam tertua di Sabah  malah sebagai pertubuhan terbesar dengan peranan utamanya untuk memperkasa dan  mempelbagai aktiviti dakwah. 

Sambil mengakui sentiasa mengikuti rapat perkembangan program dan aktiviti yang  dijalankan oleh USIA, Hajiji berkata pelaksanaan program USIA mendapat sambutan  sekali gus membuktikan USIA merupakan pertubuhan yang sentiasa aktif dan berjaya  melaksanakan program yang berimpak tinggi. 

“Ternyata USIA tidak pernah lari daripada matlamat dan falsafah perjuangan asalnya,  malah ia terus diperkasakan menerusi insiatif baharu oleh kepemimpinan baharu, iaitu  Pelan Strategik Pembugaran USIA 2022-2024. 

“Saya melihat teras dan objektif pelan strategik ini adalah selari dengan konsep kerajaan  Malaysia MADANI dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, apabila ia mengambil pendekatan  baharu `Mengutamakan yang lebih utama' di mana ini juga menjadi pegangan kita dalam  kerajaan negeri,” katanya. 

Dalam hal ini, beliau turut berkeyakinan bahawa USIA di bawah kepimpinan yang ada  sekarang serta penglibatan barisan pemimpin USIA termasuklah golongan professional  dan kakitangan yang berdedikasi, mampu membawa lebih banyak kejayaan. 

“Oleh itu,, pilihlah ketua dan barisan kepimpinan yang benar-benar layak menerajui  USIA serta sudah terbukti mampu memikul amanah. 

“Ini untuk memastikan USIA terus melangkah ke hadapan dengan lebih gemilang. Saya  juga berharap agar USIA ini tidak diheret dalam kancah politik kerana ia bertentangan  dengan asas penubuhan dan perjuangannya.  

“Kita mesti kekalkan USIA sebagai sebuah NGO Islam yang bebas politik, demi  kebaikan dan masa depan ummah keseluruhannya. Saya yakin ahli USIA semua adalah  kalangan bijak pandai dan akan menolak sebarang cubaan oleh mana-mana pihak  untuk mempolitikkan pertubuhan ini,” katanya. 

Tamat