KM: RM50 juta bantu orang kampung bayar bil elektrik

KOTA KINABALU: Mulai tahun depan, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM50  juta untuk membantu penduduk kampung yang menghadapi masalah membayar bil  elektrik mereka. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengumumkan perkara itu  sempena Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan Negeri Sabah di Dewan Bankuasi  Utama, Mernara Kinabalu, di sini pada Rabu. 

“Inisiatif ini diambil bagi membantu meringankan beban penduduk kampung yang layak  dan menghadapi kesusahan dalam membayar bil elektrik mereka. 

“Selain itu, mulai tahun depan, kerajaan negeri juga akan membantu sebanyak RM300  kepada ibu bapa miskin tegar di negeri ini, selama setahun,” katanya. 

Terdahulu beliau berkata kerajaan negeri terus komited menyediakan pelbagai bantuan  pendidikan untuk memastikan rakyat negeri ini bukan saja dapat melanjutkan pelajaran  dengan lebih sempurna malah mampu bersaing hingga ke peringkat lebih tinggi. 

Ini kerana katanya, pendidikan adalah asas yang sangat penting kepada generasi muda  sebagai wadah utama menjadikan mereka pewaris negara yang berkualiti, berilmu dan  berakhlak mulia. 

“Atas sebab itu, kerajaan negeri akan meneruskan pemberian bantuan kepada institusi  pendidikan, pelajar termasuk memperkenalkan beberapa bantuan baharu bagi  menyantuni anak-anak Sabah yang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.  

“Antaranya, Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah dengan peruntukan berjumlah RM127  juta, yang menyasarkan tajaan seramai 3,850 pelajar baharu yang menuntut di universiti  tempatan dan luar negara dan membiayai pelajar tajaan yang sedia ada, pada tahun  depan.  

“Jumlah ini telah meningkat berbanding RM113 juta yang diperuntukan kerajaan pada  tahun ini. Selain itu, untuk tahun 2025, Program Biasiswa, Dermasiswa dan Pinjaman  Pengajian Yayasan Sabah memperuntukkan sejumlah RM57 juta untuk 4,500 orang  pelajar.,” katanya. 

Hajiji berkata, kerajaan negeri melalui jabatan dan agensinya mengambil inisiatif dengan  menyediakan pelbagai bantuan pendidikan dan sumbangan seperti tajaan biasiswa,  

dermasiswa, pinjaman pengajian, dan bantuan zakat bagi meringankan beban yang  ditanggung ibu bapa. 

“Pada hari ini, tawaran tajaan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah turut diberikan kepada  seramai 100 pelajar bagi mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) di  Universiti Malaysia Sabah Kampus Kota Kinabalu.  

“Kerajaan turut menyalurkan bantuan melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah  (TPNS), dengan seramai 100 pelajar turut serta menerima bantuan ini. Setakat ini, saya  dimaklumkan TPNS telah menyalurkan sejumlah RM8.5 juta dan memberi manfaat  kepada seramai 8,000 pelajar.  

“Kita juga akan menyampaikan bantuan BISBAH atau Bantuan Ihsan Sekolah Sabah  bagi tahun 2024 dengan peruntukan sebanyak RM10 juta yang melibatkan semua  sekolah di Sabah. Selain itu, turut disampaikan sebahagian Bantuan Ihsan Komputer  (BAIK) dan Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU),” katanya. 

Sementara itu katanya, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM79.5 juta  untuk bantuan-bantuan pendidikan secara one off termasuk bantuan agama dan bahasa  sastera, untuk tahun 2025.  

“Ini membabitkan bantuan pendidikan yang baharu dan sedia ada yang diteruskan lagi  pada tahun depan, antaranya BUDI (Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off);  BAKTI (Bantuan Khas Tunai Peperiksaan); BISTARI (Bantuan Insan Tabungan  Pendidikan Negeri) dan AKSA (Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah). 

“Selain itu, BAGUS (Bantuan Aktiviti PIBG); BALKIS (Bantuan Penyelenggaraan Kecil  Sekolah) dan SEMESTA (Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia). Satu lagi inisiatif  baharu diperkenalkan iaitu Sumbangan Kegiatan Sekolah (SUKSES) dengan kadar  RM3,000 kepada 1,500 buah sekolah,” katanya. 

Dalam pada itu beliau berkata, Majlis Ugama Islam Sabah menerusi dana zakat turut  menggerakkan pelbagai inisiatif pendidikan ke arah memperkasa dan meningkatkan  kualiti pendidikan khususnya di negeri ini.  

“MUIS telah membelanjakan sejumlah RM32.5 juta pada tahun 2023 bagi menyantuni  golongan asnaf dalam kalangan anak-anak sekolah, guru-guru dan pelajar-pelajar di  institusi pengajian tinggi awam dan swasta menerusi Inisiatif Pendidikan MUIS.  

“Setakat bulan November pada tahun ini, terdapat peningkatan berjumlah RM4.9 juta  daripada tahun sebelumnya dengan perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM37.4 juta.  Oleh itu, menerusi peruntukan Bajet MUIS 2025 sejumlah RM47.3 juta khusus untuk  bidang pendidikan, diperuntukkan pada tahun depan,” katanya. 

Tamat