Aplikasi dan Buku ReTrack untuk tangani isu sosial

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor hari ini  melancarkan Aplikasi dan Buku ReTrack, langkah untuk menangani isu-isu sosial yang  sering dipandang ringan oleh masyarakat. 

Katanya, melalui aplikasi ini, bekas penghuni penjara tidak lagi dibiarkan berjuang  sendirian.  

"ReTrack berfungsi sebagai platform sokongan yang membantu mereka mendapatkan  pekerjaan, membina jaringan sosial yang positif, dan memantau kemajuan reintegrasi  mereka ke dalam masyarakat.  

"Hal ini sangat penting dan strategik khususnya bagi sebuah negeri yang luas dari segi  geografi seperti Sabah", katanya Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pembangunan  Ekonomi Daerah Tuaran 2024-2035; Rangka Tindakan Transformasi Sulaman; Pelan  Pemberdayaan Komuniti Nelayan Kampung Penimbawan dan Aplikasi serta Buku  ReTrack di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Selasa. 

Katanya, buku "Dari Penjara ke Masyarakat: Komitmen, Kolaborasi, dan Kesejahteraan"  menjadi dokumentasi penting yang menghimpunkan pandangan pakar dari pelbagai  sektor.  

"Ini adalah bukti bahawa proses reintegrasi memerlukan usaha kolektif, yang melibatkan  bukan sahaja individu tersebut tetapi juga keluarga mereka, masyarakat, dan institusi  yang relevan.  

"Melalui buku ini, kita harap dapat memperbaiki persepsi masyarakat terhadap bekas  penghuni penjara dan memberi peluang kedua kepada mereka untuk menyumbang  secara bermakna kepada pembangunan Sabah", katanya. 

Hajiji berkata, Pelan Strategik Pembangunan Ekonomi Daerah Tuaran 2024-2035  memfokuskan sektor pelancongan, pertanian dan perikanan di daerah itu. 

"Daerah Tuaran memiliki potensi besar dari segi keindahan semula jadi, budaya  tempatan, dan hasil pertanian yang pelbagai. Pelan ini memastikan semua pihak  berkepentingan iaitu daripada pengusaha kecil hingga pelabur besar, dapat bersama sama memanfaatkan peluang yang ada. 

"Pelan ini juga menekankan amalan lestari yang akan memberi manfaat jangka panjang  kepada penduduk setempat. Di kawasan seperti Tuaran, kekayaan alam adalah aset  utama. Kita tidak boleh membiarkan pembangunan berlaku dengan mengorbankan  warisan ini," katanya. 

Hajiji berkata, keempat-empat inisiatitf itu akan membawa satu perubahan yang besar  kepada daerah Tuaran, khususnya dalam aspek pembangunan daerah dan  pembangunan ekonomi termasuk komuniti nelayan.  

Beliau mengambil contoh, Rangka Tindakan Transformasi Sulaman adalah bukti  bagaimana penglibatan komuniti menjadi teras kepada perancangan pembangunan.  

Katanya, projek itu dirangka dengan mengambil kira suara rakyat. Usaha untuk  membangunkan industri sulaman tempatan tidak hanya memberi pendapatan kepada  pengusaha kecil, tetapi juga memperkukuhkan identiti budaya Sabah yang kaya dengan  seni dan tradisi. 

Menurutnya, Pelan Pemberdayaan Komuniti Nelayan Kampung Penimbawan pula  bukan saja menyediakan sokongan teknologi kepada mereka, juga membuka peluang  untuk diversifikasi dan pelbagaikan pendapatan melalui sektor-sektor lain seperti  pelancongan dan pemprosesan hasil laut.  

"Inisiatif ini dirangka kerana kita tahu bahawa komuniti nelayan yang sering menjadi  mangsa perubahan ekonomi global, seperti ketidakstabilan harga dan perubahan iklim. 

"Inisiatif seperti Pelan Strategik Pembangunan Ekonomi Daerah Tuaran dan Rangka  Tindakan Transformasi Sulaman menyasarkan keseimbangan antara pertumbuhan  ekonomi dan kelestarian alam sekitar, yang selaras dengan matlamat ini", katanya. 

Beliau menyeru dan mengingatkan semua pihak yang terlibat agar berganding bahu  merealisasikan semua usaha dan strategi yang telah dirangka.  

"Gunakan pengalaman, pengetahuan dan keupayaan dalam mencapai apa juga yang  telah dirancang. Pelancaran hari ini hanyalah permulaan. Kita masih mempunyai banyak  kerja yang perlu dilakukan untuk memastikan inisiatif-inisiatif ini mencapai  matlamatnya", katanya. 

Tamat