Badan Berkanun, GLC Negeri perlu sokong aspirasi kerajaan negeri

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mahu  Badan-badan Berkanun Negeri dan Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) menyokong  aspirasi kerajaan untuk pembangunan ekonomi negeri secara holistik dan memastikan  dapat menyumbang kepada hasil kerajaan negeri.  

Sesuai dengan objektif mewujudkan Badan Berkanun dan GLC negeri, beliau mahu  mereka memberikan sokongan dan kerjasama kepada kerajaan negeri dalam  melaksanakan aktiviti pembangunan sosioekonomi bagi membantu mencapai objektif  untuk mensejahterakan rakyat negeri ini.  

“Seiring dengan usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri ini, saya mahu  Badan Berkanun dan GLC Negeri mencetus kreativiti dan daya cipta dalam meneroka  peluang-peluang perniagaan, sama ada menceburi perniagaan baharu atau  mewujudkan jalinan kerjasama sesama agensi kerajaan negeri lain yang berkaitan,  selagi ia tidak bercanggah dengan objektif penubuhan.  

“Oleh itu, setiap agensi perlu bijak dan berhemah dalam perbelanjaan dan  mengutamakan pulangan yang perlu dicapai agar dapat memelihara kebajikan syarikat,  mengekalkan prestasi dan menyumbang kepada sosioekonomi negeri”, katanya pada  Majlis Perasmian Penutupan Kursus Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Badan Berkanun  Negeri dan Syarikat Kerajaan Negeri Sesi 2, Tahun 2024 serta Penyampaian Dividen  dan Sumbangan Agensi Awam Kepada Kerajaan Negeri di Grand Ballroom, Magellan  Sutera, Sutera Harbour Resort pada Selasa. 

Beliau mengingatkan semua Badan Berkanun dan GLC Negeri bahawa pelantikan ALP,  kenaikan elaun, kemudahan-kemudahan, dan permohonan pemberian (grant) perlu  mematuhi peraturan yang berkuatkuasa dan tidak membuat keputusan  

sewenang-wenangnya tanpa merujuk kepada peraturan yang ditetapkan sama ada  melalui Akta Syarikat, enakmen atau pekeliling kewangan semasa. 

Menurutnya, aspek penting yang perlu sentiasa diamalkan adalah pematuhan kepada  undang-undang dan peraturan semasa yang berkuatkuasa.  

"Saya yakin dan percaya melalui penerapan prinsip tadbir urus baik, akan membantu  ALP menjalankan peranan dan tanggungjawab dengan lebih berkesan ke arah  memandu organisasi melaksanakan mandatnya dan mencapai sasaran ditetapkan,  supaya pelaburan kerajaan mendapat pulangan sewajarnya", tegasnya.

Hajiji menegaskan bahawa jawatan ALP bukanlah satu keistimewaan, tetapi merupakan  satu amanah untuk menahkoda sesebuah agensi ke arah pencapaian hala tuju.  

Oleh itu katanya, selain memberikan nilai tambah kepada organisasi dan menjaga  kepentingan serta harapan stakeholder, ALP perlu mengutamakan peraturan, tadbir  urus korporat dan menjunjung tinggi integriti. 

Beliau menggesa semua ALP dan pengurusan GLC supaya melipatgandakan usaha,  beramanah, berintegriti dan melaksanakan tadbir urus baik dalam syarikat. 

Hajiji berkata, kerjasama dan kesefahaman di antara ALP Pengurusan Tertinggi sangat  penting dalam merancang strategi terbaik sebagai sebuah agensi, selain mempunyai  etika dan moral yang baik akan membawa syarikat bertindak secara beretika dalam  memacu pertumbuhan ekonomi dan berkeupayaan mengukuhkan langkah Kerajaan.  

Katanya, kursus anjuran Kementerian Kewangan Negeri itu bersesuaian dengan  keperluan ALP yang baharu dilantik dan yang sedia ada, untuk meningkatkan  pengetahuan dan kemahiran dalam mentadbir dan mengurus agensi masing-masing.  

“Saya yakin melalui kursus ini ALP akan dapat meningkatkan gaya kepimpinan ke arah  kecemerlangan dan Pengurusan Tertinggi dapat mengukuhkan komposisi pengurusan  yang lebih baik sekali gus mencetuskan ketepatan dan ketelusan dalam memacu hala  tuju sesebuah agensi”, tegasnya. 

Beliau juga mahu semua badan berkanun dan GLC kerajaan terus meningkatkan  prestasi dan hasil mereka supaya dapat menyumbang pendapatan kepada kerajaan  negeri. 

Tamat