Regatta Lepa disenaraikan dalam kalendar pelancongan tahun 2025

SEMPORNA: Pesta Regatta Lepa antara program kebudayaan yang akan disenaraikan  dalam kalendar pelancongan negeri Sabah pada tahun hadapan selain Museum  Festival 2025 dan Kraf Eksotika, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji  Noor. 

Beliau berkata, usaha ini dapat meningkatkan daya saing pelancongan berasaskan  komuniti, iaitu satu kaedah efektif untuk mengagihkan hasil pendapatan industri ini  secara lebih inklusif dan saksama.  

“Semua usaha ini juga adalah untuk memastikan khazanah budaya ini dapat dinikmati  generasi masa ini dan akan datang. Dalam masa sama, dapat merancakkan lagi sektor  pelancongan tempatan. 

“Justeru, saya ingin mengajak seluruh rakyat Sabah untuk terus bersatu-padu dan  menyokong setiap usaha kerajaan agar lebih banyak lagi pembangunan dapat dinikmati  oleh rakyat di semua peringkat,” katanya sempena perasmian Sambutan Regatta Lepa  Semporna Ke-29 Tahun 2024 di Padang Bandar Semporna, di sini pada malam Sabtu. 

Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar,  Datuk Seri Panglima Christina Liew. 

Dalam pada itu, Hajiji berkata era komodenan masa kini tidak menghalang komitmen  kerajaan negeri untuk terus memelihara khazanah budaya dan adat resam yang diwarisi  sejak zaman nenek moyang lagi. 

“Lepa bukan sekadar sebuah perahu, ia adalah lambang kemahiran, kebijaksanaan dan  keunikan seni bina serta kejuruteraan tradisional yang diwarisi dari generasi ke  generasi. Kekayaan tradisi budaya dan kepelbagaian etnik merupakan ciri keunikan  dan khazanah warisan yang akan terus dipelihara untuk diwarisi generasi akan datang. 

“Melalui penganjuran Regatta Lepa ini, kita bukan sahaja menyemarakkan semangat  perpaduan, tetapi juga memperkukuh jati diri kita sebagai masyarakat yang kaya dengan  tradisi.Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama-sama untuk memperkasakan  sektor kebudayaan yang ada di negeri ini,” katanya. 

Beliau berkata, keistimewaan dan keunikan negeri Sabah yang mempunyai  kepelbagaian warisan, etnik, budaya dan kaum adalah aset yang penting sebagai 

tarikan pelancong dan terus dipelihara serta dilindungi sebagai lambang ketamadunan  masyarakat negeri ini.  

“Ini adalah selari dengan Pelan Induk Pembangunan Kebudayaan Negeri Sabah 2020- 2030 yang dilaksanakan merangkumi pembangunan Sistem Pemetaan Budaya,  menaiktaraf kemudahan-kemudahan pelancongan, pemeliharaan dan pemuliharaan  dokumentasi khazanah warisan dan budaya serta kawasan bersejarah,” katanya. 

Sehubungan itu beliau mahu seluruh rakyat agar mengekalkan budaya perpaduan dan  permuafakatan, demi masa depan yang lebih cemerlang untuk rakyat Sabah dan  generasi yang akan datang. 

“Ini seiring dengan tema pesta kali ini iaitu “Regatta Lepa; Lambang Perpaduan  Masyarakat Madani” yang jelas menunjukkan bahawa sambutan regatta mampu  menjadi antara platform perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negeri ini.  

“Kita perlu terus mempertahankan dan memperkukuhkan semangat perpaduan ini,  jangan biarkan sebarang bentuk perpecahan menggangu keharmonian yang telah kita  bina selama ini,” katanya. 

Tamat