Perubahan positif dalam ekonomi & semua aspek pembangunan

TUARAN: Kerajaan Negeri telah berjaya membawa banyak perubahan positif dalam  bidang ekonomi dan semua aspek pembangunan di negeri ini, sepanjang tempoh empat  tahun lalu. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, antaranya Sabah telah  memperoleh penyertaan yang lebih besar dalam pembangunan industri minyak dan gas  di negeri ini. 

Katanya, selain terus menjayakan inisiatif dan agenda dalam Pelan Pembangunan Hala  Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kerajaan negeri terus menerokai sumber-sumber baharu  untuk menyokong sumber ekonomi sedia ada, supaya pertumbuhan ekonomi negeri  dapat terus dipertingkatkan dari tahun ke tahun.  

“Bagaimanapun, semua ini sudah pasti memerlukan sokongan berterusan daripada  semua pihak khususnya rakyat, untuk kita membangunkan negeri ini”, katanya pada  Majlis Perasmian Penutupan Program MyLesen Madani 2024 Peringkat Negeri Sabah  di Dewan Seri Sulaman, Tuaran pada Sabtu. 

Menurutnya, banyak usaha dan inisitiaf telah dan sedang dibuat kerajaan negeri untuk  membantu rakyat khususnya golongan B40, sama ada dalam aspek peningkatan  ekonomi dan pendidikan, seiring dengan komitmen untuk membasmi kemiskinan  terutama miskin tegar yang merupakan antara agenda penting kerajaan. 

Katanya, kerajaan mengambil beberapa pendekatan agresif termasuklah menawarkan  pekerjaan kepada Ketua atau ahli Isi Rumah golongan berkenaan. Program yang  berterusan ini melibatkan kerjasama beberapa agensi Kerajaan dengan sektor swasta,  yang diselaraskan oleh Sekretariat Sabah Maju Jaya. 

Beliau berkata, dalam menoktahkan miskin tegar, Kerajaan Negeri mensasarkan untuk  membina 3,000 unit Rumah Mesra SMJ pada tahun hadapan di kesemua 73 kawasan  Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan kos berjumlah RM250 juta.  

Hajiji berkata, untuk pembangunan modal insan, kerajaan negeri telah menambah sekali  ganda peruntukan untuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) menjadikannya kini  berjumlah RM127 juta, berbanding hanya RM50 juta sebelumnya. 

“Penambahan ini sudah tentu berupaya membantu lebih ramai lagi anak-anak Sabah  yang berkelayakkan tetapi memerlukan bantuan dari segi pembiayaan kos pengajian  mereka di institusi pengajian tinggi”, katanya. 

Menurutnya, kerajaan negeri dan persekutuan sentiasa mengambil berat denyut nadi  dan keperluan rakyat daripada segenap lapisan masyarakat sama ada di kawasan  bandar mahupun luar bandar, telah bekerjasama dalam melaksanakan pelbagai inisiatif  kepada rakyat terutamanya dalam aspek pengangkutan. 

Katanya, Program MyLesen Madani 2024 peringkat negeri Sabah adalah bukti  kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan, untuk membantu golongan  sasar khususnya golongan B40 untuk memiliki lesen memandu di negeri ini.  

Beliau berkata, menerusi program itu bagi negeri Sabah, sebanyak 3,110 kuota telah  diberikan tahun ini, meningkat berbanding 500 kuota pada tahun 2023.  

Hajiji berkata, Program MyLesen Madani 2024 Daerah Tuaran melibatkan empat (4)  kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan  Kiulu membabitkan seramai 500 orang peserta. 

“Penganjuran Program MyLesen MADANI 2024 peringkat negeri Sabah ini sudah pasti  dapat meningkatkan tahap pemilikan lesen dalam kalangan penduduk di Sabah  terutamanya golongan B40. Ia adalah antara usaha murni kerajaan membantu golongan  berpendapatan rendah memiliki lesen dalam memperkasa mobiliti rakyat untuk  memperluaskan peluang pekerjaan, pendidikan dan ekonomi kalangan masyarakat luar  bandar”, tegasnya. 

Beliau juga berharap program itu dapat meningkatkan disiplin para peserta untuk  sentiasa mengutamakan keselamatan jalan raya dengan penerapan pemanduan  berhemah.  

Tamat