Kerajaan komited bangunkan data dan dokumentasi etnik di Sabah

PENAMPANG: Dua komponen utama iaitu pembangunan sistem pangkalan data  bersepadu dan dokumentasi etnik, diberi penekanan dalam Fasa kedua Projek  Pembangunan Sistem Pemetaan Budaya Bersepadu Negeri Sabah 2024-2025. 

Fasa pertama projek ini telah bermula pada tahun 2021 hingga 2023 dan telah  mengumpulkan sebanyak 16 kajian melibatkan pelbagai etnik di seluruh Sabah. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata projek ini antara yang  dilaksanakan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) dalam usaha memastikan  data dan dokumentasi membabitkan kepelbagaian etnik di Sabah terus terpelihara. 

“Antara etnik itu ialah etnik Dusun Gana, etnik Mangka’ak, etnik Sungai Milian, etnik  Murut Timugon, etnik Okolod, etnik Turavid, etnik Kadazan Papar, etnik Kalabuan dan  etnik Bonggi. Saya berharap usaha ini akan mencapai matlamat kita khususnya untuk  mengenali etnik-etnik ini dan budaya mereka.  

“Usaha seperti ini sudah pasti membantu kita untuk memelihara dan memulihara budaya  etnik-etnik yang ada di negeri ini. Saya juga dimaklumkan bahawa pihak Lembaga  Kebudayaan Negeri Sabah melakukan dokumentasi etnik dan budaya secara  berterusan sebelum ini iaitu sejak tahun 2008,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sambutan Hari Etnik Sabah sempena Ulang Tahun  Kelahiran Rasmi Ke-71 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah di  International Technology & Commercial Centre (ITCC) di sini pada Sabtu. 

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri  Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam. 

Majlis itu dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin. 

Dalam pada itu beliau berkata Sabah bukan sahaja terkenal dengan keindahan alam  semula jadi, tetapi juga lebih daripada 35 etnik dan 217 sub-etnik yang hidup harmoni  di negeri ini.

“Setiap etnik menyumbang kepada keunikan budaya, adat resam, dan tradisi yang  memperkayakan identiti negeri. Sempena sambutan Hari Etnik ini, kita meraikan  kekayaan dan kepelbagaian etnik yang menjadi identiti unik negeri Sabah,” katanya. 

Beliau turut berharap seminar ‘Pemerkasaan Komuniti Budaya Melalui Protokol Budaya  Komuniti’ yang dihadiri persatuan-persatuan etnik, persatuan pengusaha pelancongan  daerah dan komuniti Rizab Biosfera Banjaran Crooker, telah memberikan informasi  baharu tentang kaedah pemuliharaan budaya secara bersepadu menerusi Modul  Protokol Budaya Komuniti. 

“Segala ilmu baharu yang diperoleh diharap akan diaplikasikan di peringkat akar umbi  khususnya persatuan dan komuniti demi kelestarian budaya dan memajukan lagi  industri pelancongan di negeri Sabah,” katanya. 

Beliau berharap sambutan Hari Etnik dapat dihayati dan diraikan dalam suasana  harmoni, sekali gus memperkukuhkan hubungan antara etnik. 

Tamat