Kerajaan rancang tubuh Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal, Vokasional

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri merancang menubuhkan Majlis Pendidikan dan  Latihan Teknikal dan Vokasional (MPLTV) untuk memperkasakan pelaksanaan program  Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta bidang sains, teknologi,  kejuruteraan dan matematik (STEM) di Sabah.  

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, MPLTV akan  ditubuhkan selewat-lewatnya awal tahun hadapan, dengan kerajaan negeri memberikan  sokongan yang signifikan terhadap program TVET melalui pelbagai inisiatif dan  peruntukan.  

Katanya, dalam usaha memperkukuhkan modal insan, kerajaan negeri  memperuntukkan sebanyak RM33 juta untuk pelaksanaan kursus dan latihan  kemahiran sains, teknologi dan inovasi pada tahun ini. 

“Namun, kita masih berdepan dengan beberapa cabaran dalam usaha memperkasakan  TVET di negeri ini, termasuklah berkaitan infrastruktur dan kelengkapan latihan yang  perlu diberi perhatian bagi memastikan pelajar TVET kita mendapat latihan berkualiti  dengan kemudahan terkini.  

“Kita juga memerlukan lebih ramai tenaga pengajar berkemahiran yang dapat  menyampaikan ilmu dan latihan berkualiti kepada para pelajar”, katanya pada Majlis  Anugerah Tangan Emas Ketua Menteri dan Perasmian Penutupan Pertandingan  WorldSkills Malaysia Sabah 2024 di Dewan Seri Kinabalu, Institut Kemahiran Mara  (IKM) pada Sabtu. 

Beliau percaya dengan kerjasama semua pihak dalam industri berkaitan dapat  menangani cabaran tersebut dan mahu kerjasama erat antara institusi pendidikan tinggi  seperti Politeknik dan Kolej Komuniti dengan pihak industri berterusan dalam usaha  membantu memperkasakan bidang TVET di Sabah. 

Hajiji berharap kerjasama dan komitmen daripada pelbagai pihak dalam bidang  kemahiran dan industri dapat diteruskan dan dipertingkatkan bagi menyokong agenda  memperkasakan TVET di negeri ini. 

Katanya, TVET mampu membantu melahirkan tenaga kerja tempatan yang  berkemahiran tinggi dalam bidang seperti kejuruteraan, teknologi maklumat,  perladangan, pelancongan, dan perindustrian, membantu memenuhi permintaan  industri tempatan, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja  asing.  

Menurutnya, TVET turut memainkan peranan dalam menyediakan pekerja dengan  kemahiran teknologi seperti automasi, kecerdasan buatan (AI), robotik, dan Internet  Pelbagai Benda (IoT) yang menjadi asas dalam era Revolusi Industri 4.0, selain bidang  perniagaan dan keusahawanan.  

“Saya yakin dengan melahirkan tenaga kerja yang cekap, produktif, dan berkemahiran  tinggi, TVET menjadikan Sabah lebih menarik kepada pelabur asing yang memerlukan  tenaga kerja berkualiti. Daya saing ini penting untuk menarik pelaburan asing dalam  sektor berteknologi tinggi, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan”,  tegasnya. 

Hajiji optimis, Pertandingan WorldSkills Malaysia Sabah 2024 dapat melahirkan lebih  ramai belia berkemahiran dan berdaya saing dan dengan penglibatan pihak industri,  secara langsung akan meningkatkan lagi kualiti latihan dan keyakinan peserta kerana  mereka mendapat pendedahan secara terus teknologi semasa dan suasana kerja  sebenar di industri.  

Beliau berharap pertandingan kemahiran seperti ini akan diteruskan pada masa-masa  akan datang di negeri ini. 

“Marilah kita bersama-sama menjadikan TVET sebagai landasan utama untuk  melahirkan lebih ramai anak Sabah yang mempunyai kemahiran khusus dan bersedia  menyumbang kepada ekonomi negeri dan negara”, katanya. 

Tamat.