Sabah yakin capai 30 peratus TPA

KOTA KINABALU: Sabah yakin mampu mencapai sasaran untuk memperluas Kawasan  Perlindungan Sepenuhnya (TPA) kepada 30 peratus daripada keluasan tanah Sabah  atau kira-kira 2.2 juta hektar, menjelang tahun 2025, kata Ketua Menteri, Datuk Seri  Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Beliau berkata, pada masa ini Jabatan Perhutanan Sabah sedang mengenal pasti  kawasan seluas lebih kurang 220,000 hektar lagi untuk diwartakan sebagai kawasan  TPA, dalam usaha untuk mencapai sasaran 30 peratus TPA berkenaan. 

“Jabatan Perhutanan Sabah telah mencapai pelbagai kejayaan sejak penubuhannya  110 tahun lalu termasuk peningkatan TPA di negeri ini yang telah meningkat kepada 2.0  juta hektar, atau kira-kira 27.3 peratus daripada keseluruan keluasan tanah Sabah, pada  masa ini. 

“Dalam pada itu, jabatan juga sedang dalam peringkat akhir untuk membuat pindaan  kepada Enakmen Hutan 1968, Pindaan ini penting untuk memodenkan kerangka tadbir  urus hutan Sabah dan perundangan berkaitan perhutanan, untuk memastikan ia selaras  dengan realiti semasa.  

“Legasi Jabatan Perhutanan Sabah sepanjang 110 tahun yang lalu memberikan asas  yang kukuh untuk perubahan yang diperlukan ini, dan mencerminkan komitmen Sabah  untuk menyesuaikan diri kepada cabaran dunia moden,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perhutanan Malaysia Ke-20  Harmonizing Forestry Towards Sustainability ’ dan sambutan Ulang Tahun Ke-110  Jabatan Perhutanan Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini,  pada Selasa. 

Beliau turut berasa bangga dengan Jabatan Perhutanan Sabah kerana mencapai  beberapa kejayaan penting dalam tempoh 110 tahun penubuhannya.  

“Antara pencapaian penting itu ialah sedang memuktamadkan Pelan Induk Hutan  Negeri Sabah, berjaya melancarkan Pelan Tindakan Strategik Sabah Ke-2 dan Pelan  Tindakan Pembangunan Ladang Hutan selama 15 tahun dari 2022 sehingga 2036.  

“Hari ini, satu lagi kejayaan Jabatan Perhutanan Sabah iaitu pelancaran Pelan Tindakan  Bakau Sabah (SMAP), yang dihasilkan dengan usaha bersama Tabung Hidupan Liar 

Sedunia (WWF) Sabah. Objektif utama SMAP ini adalah untuk menyediakan garis  panduan dan arah transformasi untuk perancangan dan pengurusan hutan bakau di  Sabah 

“Namun semua kejayaan ini tidak boleh dijadikan alasan untuk kita leka kerana pelbagai  cabaran perlu dihadapi terutamanya ancaman terhadap ekosistem hutan seperti isu  perubahan iklim dan perubahan guna tanah untuk tujuan pertanian dan pembangunan,”  katanya. 

Sementara itu, katanya Jabatan Perhutanan Sabah juga telah dilantik sebagai  Sekretariat untuk Majlis Tindakan Perubahan Iklim Sabah (SCAC) bagi memacu agenda  perubahan iklim negeri.  

“Majlis Tindakan ini menyelaras usaha untuk mengurangkan dan menyesuaikan diri  dengan perubahan iklim, mengintegrasikan perhutanan ke dalam strategi iklim yang  lebih luas.  

Sebagai contoh, jualan kredit karbon daripada Projek Pemuliharaan Hutan Hujan  Kuamut ataupun lebih dikenali sebagai Kuamut Rainforest Conservation Project (KRCP)  di Sabah menerusi Bursa Carbon Exchange (BCX) merupakan penjualan kredit karbon  pertama Malaysia di bawah BCX.  

“Setakat ini, Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut telah berjaya menjana lebih  kurang 4.2 juta Unit Karbon Disahkan ataupun Verified Carbon Units (VCUs),” katanya. 

Mengenai persidangan itu, beliau berharap agar semua peserta dapat terlibat aktif  dalam perbincangan dan berkongsi kepakaran dan pengalaman masing-masing bagi  memastikan sektor perhutanan kekal memainkan peranan penting dalam ekonomi  negara dan kelestarian alam sekitar. 

“Ini juga bersesuaian dengan tema persidangan pada tahun ini iaitu “Harmonizing  Forestry Towards Sustainability” yang mana selaras dengan matlamat kelestarian  global, terutamanya Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa  Bersatu (Sustainable Development Goals-SDGs), yang menekankan tanggungjawab  holistik untuk mengurus dan melindungi sumber hutan untuk generasi akan datang,”  katanya 

Tamat