Sabah sedia jadi hub kemajuan teknologi

KOTA KINABALU: Sabah sudah bersedia menjadi hab kemajuan teknologi dengan  inovasi digalakkan dan dipupuk secara aktif, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima  Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, dalam dunia yang berkembang pesat hari ini, integrasi teknologi dan inovasi  amat penting dalam pembangunan ekonomi.  

Beliau berkata, Sabah komited untuk membangunkan ekonomi berorientasikan masa  depan melalui inovasi.  

"Dalam usaha untuk memacu negeri ini ke hadapan, kerajaan negeri telah merangka  satu visi yang jelas untuk memastikan Sabah menjadi sebuah hab inovasi yang dinamik  dan berdaya saing di rantau ini.  

"Salah satu contoh usaha ini adalah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi  fokus kepada tiga teras utama iaitu Sektor Pertanian, Perindustrian, Pelancongan.  Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat serta Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian  Hijau", katanya ketika merasmikan "SUPERCHARGER SABAH 2024" di Pusat Islam,  Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Selasa. 

Beliau mengambil contoh dalam sektor pertanian, Kerajaan Persekutuan telah  menyalurkan lebih RM33 juta kepada Sabah pada bulan Julai lalu, dalam usaha  meningkatkan keterjaminan makanan. Dana itu penting untuk mengoptimalkan  penggunaan tanah bagi meningkatkan hasil produk agromakanan. 

"Inisiatif seperti siri Program Supercharger yang memberi fokus utama dalam  keterjaminan makanan, amat penting dalam usaha kita menghentikan kebergantungan  import bekalan makanan. 

"Justeru, seiring dengan Dasar Keterjaminan Makanan Nasional, Sabah berhasrat untuk  meningkatkan tahap sara diri makanan dengan menggalakkan inovasi dalam  pengeluaran tanaman, penternakan dan perikanan", katanya. 

Menurutnya, Sabah wajar perkasakan teknologi moden dalam sektor pertanian seperti  penggunaan smart farming dan automasi / mekanisasi untuk meningkatkan hasil dan  kualiti produk, bukan sahaja untuk meningkatkan produktiviti, tetapi juga demi  memastikan amalan pertanian yang mampan dan mesra alam.

Hajiji berkata, UMS telah menjalankan pelbagai aktiviti untuk membantu industri dan  masyarakat di Sabah melalui pengkomersialan inovasi mereka dan pemindahan  pengetahuan kepada masyarakat.  

"Tidak ketinggalan penyelidikan terkemuka seperti ‘hybrid grouper’, ‘monkey malaria’,  dan banyak lagi. Pemilihan Institut Penyelidikan Marin Borneo (BMRI) UMS sebagai  Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HiCOE) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi  Malaysia adalah kebanggaan rakyat Sabah dan bukti penyelidikan dan inovasi yang  cemerlang oleh UMS", tambahnya. 

Katanya, UMS telah mewujudkan ekosistem yang komprehensif untuk memperkukuh  penyelidikan dan inovasi melalui penubuhan 4 kluster penyelidikan iaitu Kejuruteraan  dan Teknologi, Perubatan dan Sains Hayat, Alam Sekitar dan Sains Gunaan serta Seni,  Sains Sosial dan Kemanusiaan.  

Menurutnya, penubuhan Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan (ICMC) pada  tahun 2021, telah menjadi pemangkin dalam memudahkan pensyarah UMS  mengkomersialkan inovasi mereka. 

Beliau berkata, Supercharger Series 2024 merupakan inisiatif strategik yang dirangka  khusus untuk memacu kerjasama, penglibatan, dan perkongsian pengetahuan dalam  ekosistem Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan, dan Inovasi (R&D&C&I). 

Katanya, Program Supercharger membolehkan syarikat terbitan atau spin-off universiti,  penyelidik, entiti sektor swasta, dan agensi dapat bekerjasama, belajar, dan menangani  cabaran bersama-sama.  

Hajiji berkata, dengan adanya program Supercharger yang dilaksanakan di negeri ini,  rakyat Sabah, berpeluang untuk bersama-sama membina sebuah ekosistem inovasi  yang dinamik dan berdaya saing, sekali gus meletakkan negeri ini di persada dunia  sebagai hab inovasi yang unggul.  

Tamat