Umat Islam perlu contohi peribadi dan keterampilan Nabi Muhammad SAW

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengajak  masyarakat Islam agar sentiasa menjadikan peribadi dan keterampilan Nabi  Muhammad SAW sebagai contoh dalam diri masing-masing.  

Katanya, melalui keperibadiannya yang luar biasa mulia dan disanjung itu, Nabi  Muhammad SAW berjaya menyatukan kaum muhajirin dan ansar selepas berlakunya  peristiwa Hijrah pada 622 masihi di Madinah. 

Beliau berkata, penyatuan ini bukan sahaja membina hubungan baik antara manusia  dengan Allah SWT, juga perubahan dan era baharu konsep persaudaraan dengan  membangunkan model komuniti bertunjangkan Islam dalam menyatupadukan  penduduk Madinah yang berbilang kaum dan agama. 

“Justeru, konsep perpaduan dalam kepelbagaian kaum dan agama yang diperkenalkan  oleh Rasullulah amat penting diteruskan, ke arah memastikan lebih banyak kejayaan  dan pembangunan dapat dinikmati di negeri ini.  

“Melalui berselawat, diharapkan kita sentiasa memperingati sekaligus menjadi umat  Islam yang mahukan kejayaan dunia dan akhirat”, katanya ketika merasmikan Program  Sabah Berselawat 2024 di Dewan Sa’adah Wisma MUIS pada Khamis. 

Hajiji berkata, menjadi tanggungjawab umat Islam mengangkat dan mengagungkan  kerasulan Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi akhir zaman, mengasihi dan  mencintainya sepanjang hayat serta mendekati-Nya dengan berselawat kepadanya  setiap masa dan ketika. 

“Meskipun tidak berkesempatan bertemu dengan Rasulullah S.A.W, namun kita masih  berpeluang untuk mendalami dan mengamalkan sunnah dan sirah Baginda. Hal ini  merupakan antara bukti kecintaan kita kepada Baginda, satu-satunya Nabi dan Rasul  yang berupaya memberikan syafaat kepada seluruh umatnya di hari kemudian nanti.  

“Berselawat ke atas Rasulullah S.A.W sebenarnya dapat mendidik diri, hati, jiwa dan  akal kita untuk menjadi umat yang sentiasa bersyukur di atas segala nikmat yang  dikurniakan”, tegas beliau. 

Katanya, Program Sabah Selawat anjuran Stesen Radio SABAHfm merupakan antara  program tonggak RTM Sabah yang bertujuan mengimarahkan sambutan Maulidur  Rasul dalam kalangan umat Islam di negeri ini khususnya di Kota Kinabalu.

Menurutnya, program itu merupakan kali kedua dianjurkan juga menjadi medium  mendekatkan golongan belia dengan program-program keagamaan yang turut  menampilkan penceramah terkenal dalam dan luar negara. 

Tamat