4 negara mencatatkan kemasukan pelawat asing tertinggi ke Sabah

KOTA KINABALU: Empat negara iaitu China, Brunei, Indonesia dan Filipina  mencatatkan kemasukan pelawat asing tertinggi ke Sabah pada tahun ini setakat bulan  Ogos iaitu seramai 586,501 orang, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji  Haji Noor. 

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata jumlah kemasukan  pelawat asing dari empat negara ini dijangka akan terus meningkat menjelang akhir  tahun ini. 

“Berdasarkan statistik daripada Jabatan Imigresen negeri Sabah, kemasukan pelawat  asing ke negeri ini dalam tempoh lima tahun iaitu 2020 sehingga Ogos 2024, jelas  menunjukkan peningkatan drastik terutamanya dari negara China, Brunei, Indonesia  dan Filipina.  

“Mengambil kira rekod daripada Jabatan Imigresen itu, sebagai contoh untuk tempoh  sepanjang tahun 2023 sahaja, jumlah kemasukan pelawat asing ke Sabah dari empat  negara berkenaan adalah seramai 427,077 orang.  

“Sesungguhnya, peningkatan ini adalah sesuatu yang sangat positif, khususnya dalam  membantu pertumbuhan ekonomi negeri ini. Saya juga berharap jumlah kemasukan  pelawat asing dari negara-negara lain akan turut meningkat,” katanya. 

Beliau berkata, sistem tadbir urus dan kerjasama baik di antara kerajaan negeri dan  Jabatan Imigresen Negeri Sabah dalam pengurusan imigresen yang efisien telah  memudahkan kemasukan pelawat termasuk pelabur asing di negeri Sabah.  

“Dengan menyediakan proses kemasukan dan permohonan pas yang mudah dan  teratur, jelas menunjukkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan persekitaran  perniagaan yang mesra dan kondusif, selain menarik lebih ramai pelawat atau  pelancong.  

“Ia seterusnya membina keyakinan pelabur terhadap keupayaan negeri Sabah dalam  menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya sempena Majlis Apresiasi  Serumpun Kasih Seluhur Budi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di Sabah  International Convention Centre (SICC) di sini pada Rabu.

Katanya, sebagai sebuah negeri yang berkembang maju, adalah penting untuk  meningkatkan kualiti dan produktiviti penyampaian perkhidmatan dalam kalangan warga  Jabatan Imigresen negeri Sabah. 

“Oleh itu, saya mahu agar semua warga Jabatan Imigresen negeri terus memberikan  perkhidmatan yang cekap, mesra, berintegriti dan profesional. Rakyat hari ini  mempunyai pelbagai kehendak yang perlu disantuni dengan sebaiknya,” katanya. 

Katanya, negeri Sabah yang berkeluasan lebih 72,000 kilometer persegi sudah pasti  memberi cabaran kepada Jabatan Imigresen Negeri dalam menguruskan kemasukan  pelancong dan warga asing ke negeri ini.  

“Justeru, komitmen semua pegawai dan warga Jabatan Imigresen negeri Sabah yang  telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi khususnya  dalam mengawal selia 11 pintu masuk di Sabah, amat dihargai. 

“Dalam pada itu, kedudukan Sabah yang bersempadan dengan beberapa negara jiran  termasuk pembukaan Ibu Kota Nusantara Indonesia, sekali gus terdapat keperluan  dalam aspek keselamatan rentas sempadan yang perlu dipertingkatkan di sempadan  negeri ini dan Kalimantan, Indonesia,” katanya. 

Katanya, kerajaan negeri telah meluluskan pembinaan dua buah kompleks Imigresen,  Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Negeri Sabah iaitu di ICQS Bantul dan  ICQS Serudong, pada tahun lalu. 

“Hasil usaha kerjasama di antara Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Negeri  Sabah, projek pembangunan di ICQS itu kini sedang dilaksanakan dalam  merealisasikan hasrat pembukaan pintu sempadan antarabangsa darat yang pertama  di Sabah,” katanya. 

Tamat