Sabah tetap pertahankan kedaulatan dalam Malaysia

KOTA KINABALU: Sabah tidak akan berganjak walau seinci, malah akan tetap  mempertahankan kedaulatan bumi bertuah ini selama-lamanya, tegas Ketua Menteri,  Datuk Seri Pangllima Haji Hajiji Haji Noor. 

Walaupun rakyat dan negeri ini pernah diuji dengan pelbagai ancaman dan situasi,  namun tegasnya semua itu tidak akan melemahkan semangat dan iltizam rakyat untuk  terus mempertahankan Sabah sebagai sebahagian daripada wilayah Persekutuan  Malaysia. 

“Wajar saya sebutkan di sini, sempena Hari Malaysia yang sangat signifikan ini, bahawa  Sabah akan terus mempertahankan kedaulatan negeri ini untuk selama-lamanya. 

“Keputusan muktamad Mahkamah Agung di Belanda, yang menolak rayuan yang  difailkan oleh pihak asing baru-baru ini, merupakan berita baik untuk Sabah dan  rakyatnya.  

“Keputusan muktamad itu sangat penting kepada Sabah kerana ia akhirnya  menamatkan tuntutan yang tidak pernah diiktiraf oleh rakyat dan Kerajaan. Penolakan  rayuan itu, secara langsung mengukuhkan kedaulatan Sabah dalam Malaysia yang  tidak boleh dipertikaikan, apatah lagi diganggu gugat oleh mana-mana pihak,” katanya  sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Padang  Merdeka di sini pada Isnin. 

Hajiji turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim  dan Kerajaan Persekutuan yang telah berusaha bersungguh-sungguh dalam  mempertahankan hak-hak dan kedaulatan Sabah di mahkamah luar negara. 

Beliau berkata, di Padang Merdeka inilah pada 16 September 1963, lebih enam dekad  lalu, Sabah memeterai perjanjian penuh bersejarah, membentuk negara Malaysia. 

“Malam ini, kita bersatu hati dalam mengeratkan lagi muafakat dan kata sepakat yang  dimeterai 61 tahun lalu oleh pemimpin dan pejuang kemerdekaan tanah air terdahulu.  Pada malam ini, kita meraikan kembali detik bersejarah itu, penyatuan dua wilayah di  kepulauan Borneo dengan Semenanjung Tanah Melayu, bagi membentuk sebuah  negara bangsa yang berdaulat dan merdeka.  

“Dalam konteks negeri Sabah, keputusan yang dibuat oleh pimpinan terdahulu di negeri  ini, antaranya seperti Tun Mustapha bin Datu Harun, Tun Mohd Fuad Stephens, Datuk  GS Sundang dan Datuk Khoo Siak Chew, bukan sahaja suatu keputusan yang bijak dan  tepat, tetapi berani, berprinsip dan berjiwa besar.  

“Dengan keputusan itu, Sabah, daripada sebuah negeri yang mundur kesan daripada  penjajahan, mula memasuki era baharu, mengorak langkah menuju perubahan dan  kemajuan dalam semua aspek kehidupan,” katanya. 

Hajiji berkata, pembangunan dan kemajuan negeri serta meningkatkan taraf hidup  rakyat adalah dua agenda penting yang menjadi keutamaan kerajaan. 

Walaupun masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mengisi kemerdekaan dan  mempertingkatkan taraf hidup rakyat khususnya di kawasan luar bandar dan  pedalaman, beliau berkata sejak lebih enam dekad lalu, Sabah telah mengalami  perubahan yang cukup besar dalam pelbagai sektor pembangunan. 

“Penyediaan dan menambah-baik kemudahan asas, menjadi agenda terpenting saat ini  dan kita sedang melaksanakannya. Sungguh pun program berbentuk infra ini memakan  sedikit masa, tetapi kita tetap melaksanakannya dengan matlamat tiada kawasan yang  tercicir, dan tiada rakyat yang terpinggir, termasuklah pelaksanaan program yang  berkaitan dengan pembasmian kemiskinan tegar,” katanya. 

Beliau berkata, sejak menjadi rakan kongsi dalam penubuhan Malaysia, perubahan  demi perubahan terus berlaku meliputi pelbagai sektor ekonomi dan pembangunan;  khususnya dalam bidang pendidikan, kesihatan, sosio-ekonomi, infrastruktur dan tidak  kurang pentingnya dalam bidang pertahanan dan keselamatan.  

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa berusaha memupuk perpaduan  melalui nilai budaya dan kaum, dan menjadikan itu sebagai imej Sabah yang harmoni,  bertoleransi dan saling hormat menghormati.  

“Hakikatnya, Malaysia adalah sebuah negara bermasyarakat majmuk yang menjadi  kebanggaan kita bersama sejak sekian lama. Fenomena kepelbagaian ini lebih terasa  dan lebih menyerlah dalam konteks Sabah dan Sarawak,” katanya. 

Tamat