Umat Islam diingatkan tidak terperangkap dalam zon selesa

KOTA KINABALU: Umat Islam di negeri ini diingatkan agar tidak terus terperangkap  dalam zon selesa dan beranggapan nasib serta masa depan kaum bumiputera tetap  terjamin dan terbela.  

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, umat Islam wajar  keluar dari kepompong zon selesa dengan menerapkan budaya berfikir berasaskan  fakta dan ilmu, berfikir di luar kotak untuk memajukan diri, bangsa dan negara.  

Menurutnya, sambutan Maulidur Rasul yang diadakan bukan sekadar untuk  memperingati dan meraikan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW semata-mata,  sebaliknya salah satu wadah untuk mengikis mentaliti cepat puas hati dan  membebaskan diri daripada perangkap zon selesa (complacency) terutama sekali di  kalangan anak-anak muda dan belia muslim dewasa ini.  

Katanya, selaras dengan sifat serta sikap Nabi Muhammad SAW yang meskipun  maksum, dikasihi Allah dan dijamin masuk syurga, namun tetap tekun dan istiqamah  melaksanakan amal ibadat dengan sempurna.  

“Budi pekerti Rasulullah ini memberi pengajaran bahawa umat Islam mestilah mengikis  sikap mudah selesa, mudah berpuas hati dengan pencapaian yang ada,sebaliknya perlu  sentiasa bekerja dan berusaha ke arah mencapai kejayaan yang lebih cemerlang. 

“Pengajaran ini seharusnya digarap secara positif oleh generasi muda Islam hari ini jika  tidak ingin ketinggalan dalam mencipta kejayaan dan kecemerlangan dalam  kehidupan”,katanya pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat  Negeri Sabah 1446H/2024H di Sabah International Convention Centre (SICC) pada  Isnin. 

Hajiji berkata, penguasaan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, termasuk yang  berkaitan dengan teknologi baharu seperti industri digital, Internet of Things, kecerdasan  buatan (AI), penggunaan robotik dan sebagainya akan meletakkan masyarakat ummah  setaraf dengan bangsa-bangsa lain yang lebih maju di dunia. 

Menurutnya, pendekatan kerajaan mengajak rakyat mengenang kejayaan Rasulullah  SAW membina ummah yang berjaya adalah selaras dengan hasrat murni untuk  membangunkan sektor sumber manusia dan modal insan.

Katanya, modal insan yang berkualiti adalah pra syarat terpenting dalam mencapai  wawasan negeri dan negara, kerana tanpa nilai atau kualiti yang tinggi, negara akan  menjadi lemah dan tidak mampu untuk bersiang dalam apa jua bidang dan arena di  peringkat antarabangsa.  

“Justeru hasrat murni kerajaan ini, bukan sahaja harus disambut baik oleh seluruh  rakyat, bahkan harus disokong dan didukung oleh masyarakat ummah, demi kemajuan  yang berterusan dan kesejahteraan yang berkekalan”, katanya. 

Beliau berkata, dibawah dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kerajaan  menyediakan pelbagai insentif berupa bantuan pendidikan kepada pelajar-pelajar  cemerlang di negeri ini, termasuk golongan yang kurang berkemampuan, bagi  membantu meringankan bebanan mereka melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian  tinggi.  

Katanya, kerajaan juga memperkenalkan beberapa anugerah sempena sambutan  Maulidur Rasul SAW sebagai imbuhan dan pengiktirafan sumbangan dan peranan  mereka yang melaksanakan tugas serta perkhidmatan fardu kifayah, membantu  mempermudah urusan maslahah rakyat dan sebagainya. 

“Insentif ini sebagai motivasi kepada masyarakat Islam untuk terus mencontohi dan  meneladani Rasululllah SAW dalam urusan beramal kebajikan yang secara tidak  langsung mengagungkan kerasulan baginda serta membela agama Allah SWT dengan  penuh istiqamah dan keikhlasan”, tambahnya. 

Terdahulu, Hajiji dan isteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag bersama Yang  di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin dan  Toh Puan Datuk Seri Panglima (Dr) Hajah Norlidah Tan Sri Datuk R.M. Jasni diiringi dif dif kenamaan bersama lebih 7000 umat Islam berarak ke SICC. 

Tamat