Kerajaan bersikap adil kepada semua rakyat, termasuk pembangkang

TUARAN: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) - Pakatan Harapan (PH) Plus  bersikap adil terhadap semua pihak di negeri ini, termasuk pembangkang meskipun  tidak sehaluan dalam politik. 

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata walaupun pelbagai  kritikan dan fitnah dilemparkan terhadap dirinya dan kerajaan pimpinannya, soal  keadilan tetap menjadi pegangan beliau. 

Katanya, atas prinsip itu, beliau berusaha sebaik mungkin memberikan layanan yang  adil kepada semua rakyat negeri ini tanpa mengira latar belakang politik, kaum dan  agama. 

Malah, katanya beliau sendiri meluluskan permohonan pemimpin pembangkang yang  memohon biasiswa daripada kerajaan negeri untuk anak mereka atas dasar  keprihatinan beliau terhadap anak-anak Sabah. 

"Azis Jaman (Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jaman) punya permohonan  biasiswa untuk anaknya pun saya luluskan..apa lagi yang kita tidak buat. Saya adil  apabila dia dan isteri datang jumpa di pejabat. Kerana keprihatinan saya, anak-anak itu  mesti ditolong dan kita luluskan biasiswa untuk dia. Saya tidak pernah fikir hanya untuk  ahli parti saya saja, tapi untuk semua. 

"Ada juga anak pemimpin pembangkang lain yang mendapat kemudahan, kita bagi.  Saya tidak sanggup (mengabaikannya). Kita tiada balas dendam, kita tidak tekan  sesiapa walaupun kita adalah kerajaan," katanya ketika merasmikan Mesyuarat  Tahunan Bahagian 2024 Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sulaman di  Dewan Seri Sulaman, di sini, pada Ahad. 

Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat, berkata atas prinsip keadilan itu juga beliau  mahu pemimpin di peringkat akar umbi seperti ketua cawangan, Ketua Kampung dan  Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga bertindak  dengan adil. 

"Mana-mana rakyat kita yang perlu bantuan di kampung, jangan pilih kasih, bagi  maklumat yang betul kepada kerajaan atau kepada wakil rakyat. 

"Ini prinsip saya pegang selama 35 tahun sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Sulaman, tanyalah kawan-kawan di sini. Sebagai manusia, ramai juga yang tidak suka  saya, tapi itu tidak mengapa, saya tidak simpan dalam hati", katanya. 

Sementara itu, beliau menyifatkan kritikan pembangkang terhadap kerajaan  pimpinannya ketika ini sebagai tindakan yang sengaja 'membutakan mata' kerana  enggan mengakui kesilapan mereka ketika menjadi kerajaan sebelum ini. 

Hajiji memberi contoh, isu air dan jalan raya yang sering diperkatakan pembangkang  ketika ini bukan masalah baharu, sebaliknya diwarisi daripada kerajaan sebelum ini  berikutan beberapa tindakan tidak wajar yang dilakukan mereka. 

Katanya, ia termasuk menukar syarikat konsesi sedia ada dengan syarikat lantikan  mereka hingga kerajaan terpaksa membayar ratusan juta pampasan berikutan  penamatan konsesi syarikat sebelum ini. 

"Mereka sudah diberi kepercayaan, tapi apa mereka buat dua tahun setengah  memerintah melainkan membalas dendam dengan memotong kontrak yang dilulus  kerajaan Barisan Nasional (BN). 

"Masalah air dan jalan raya sekarang, apabila mereka ambil alih kerajaan, tiada lain  dibuat selain memotong kontrak yang sudah ada perjanjian mengurus loji air atau jalan  di kampung. 

"Akibat pembatalan yang mereka buat itu, kerajaan terpaksa bayar beratus juta kepada  konsesi ini. Mereka lantik kontraktor baharu dan itulah jadi tidak ketentuan. Contohnya,  air paip masin di Sandakan, itu kontraktor lantikan mereka. 

"Tapi, dalam media sosial kata GRS gagal. Siapa sebenarnya yang gagal, merekalah  yang gagal. Sebab itu ketika mereka bubar Dewan Undangan Negeri (DUN), mereka  kalah," katanya. 

Pengerusi GRS itu menyifatkan pembangkang hanya pandai bercakap besar dan  menyalahkan kerajaan sekarang tanpa mempedulikan apa yang dilakukan mereka  sebelum ini. 

Sehubungan itu, katanya keinginan pembangkang untuk kembali menjadi kerajaan pada  Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang hanyalah mimpi kerana beliau yakin rakyat  Sabah bijak menilai untuk memilih parti atau gabungan parti yang benar-benar mampu  membawa Sabah ke arah kemajuan. 

Tamat