Sabah harap pindaan RUU Ordinan Buruh Sabah disokong semua Ahli Parlimen

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri berharap pindaan Rang Undang-Undang (RUU)  Akta Ordinan Buruh Sabah yang dijadualkan pada sesi Persidangan Parlimen Penggal  Keempat pada Oktober 2024, mendapat sokongan sebulat suara daripada semua Ahli  Parlimen. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, RUU Akta Ordinan  Buruh Sabah (Pindaan) 2024 telah dibentangkan untuk bacaan pertama oleh Menteri  Sumber Manusia semasa sesi Parlimen Pertama Penggal Ketiga pada 17 Julai 2024. 

“Saya amat berharap bacaan kali kedua pindaan RUU ini yang dijadualkan pada sesi  persidangan Parlimen Penggal Keempat pada Oktober 2024 akan mendapat sokongan  sebulat suara daripada semua Ahli Parlimen.  

“Saya amat yakin dengan pindaan Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) ini akan memberi  manfaat kepada majikan dan pekerja di negeri Sabah dengan panduan yang lebih  terperinci dan teratur untuk semua pihak dalam meningkatkan hubungan industri yang  lebih harmoni dan kondusif”, katanya ketika merasmikan Konvensyen Memerangi  Jenayah Pemerdagangan Orang dan Buruh Paksa Tahun 2024 di Sabah International  Convention Centre (SICC) pada Khamis. 

Hajiji berkata, kerajaan negeri telah memberi persetujuan dan sokongan sepenuhnya  kepada pindaan RUU itu kerana satu daripada 16 perkara pindaan tersebut adalah  berkaitan dengan isu human rights dan labour rights serta penghapusan diskriminasi  yang memperuntukkan kesalahan dan hukuman kepada majikan atau mana-mana  pihak yang mengamalkan amalan pemerdagangan orang, buruh paksa dan buruh  kanak-kanak.  

Menurutnya, ini selaras dengan peranan kerajaan meratifikasi Protokol 29 Pertubuhan  Buruh Antarabangsa (ILO) sebagai bukti komitmen kerajaan menghapuskan buruh  paksa di negara ini.  

Beliau berkata, Jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa perlu ditangani  dengan bijaksana mengikut dasar dan perundangan sedia ada agar ia dapat dibendung  dan dibanteras supaya tidak menjadi isu di peringkat negeri dan antarabangsa.  

Katanya, kerajaan negeri memberi perhatian serius dan komited dalam memerangi  jenayah pemerdagangan orang dan amalan buruh paksa di negeri ini, yang memerlukan 

kerjasama kukuh dan koordinasi antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan, badan  bukan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan. 

“Kedudukan negeri ini yang berkongsi sempadan dengan beberapa negara termasuk  Indonesia dan Filipina sehingga perjalanan merentas sempadan lebih mudah, yang  sekali gus menjadikan Sabah terdedah kepada aktiviti migrasi rentas sempadan,  pemerdagangan orang dan buruh paksa”, katanya. 

Hajiji berkata, kerajaan negeri mengiktiraf dan memperakui peranan penting Majlis  Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang diterajui oleh  Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi-agensi yang dilantik dalam membanteras  jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa di Malaysia.  

Dalam hubungan itu katanya, kerjasama antara kerajaan negeri dengan agensi-agensi  Persekutuan khususnya yang terlibat secara langsung di bawah payung MAPO perlu  diperkasakan untuk memastikan aspek penguatkuasaan, perlindungan dan  pencegahan jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa dapat dilaksana dengan  sebaik mungkin agar negara Malaysia tidak dituduh mengabaikan atau mengambil  mudah isu tersebut. 

Katanya, pekerja merupakan aset utama dan rakan strategik kepada pembangunan  ekonomi sesebuah negara kerana pekerja yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi  dan mempunyai jati diri merupakan asas yang paling utama kepada negara untuk kekal  kompetatif dan meningkatkan produktiviti agar ekonomi negara sentiasa mampan serta  berdaya saing di peringkat glokal.  

Justeru Hajiji mahu semua majikan sentiasa memastikan amalan baik industri dilaksana,  meningkatkan piawaian perburuhan seperti yang termaktub dalam dasar dan  perundangan negara, bagi memastikan hasrat dan aspirasi kerajaan untuk melihat  negara ini bebas daripada amalan pemerdagangan orang dan amalan buruh paksa  menjadi realiti dan dapat direalisasikan.  

“Ini penting dalam membantu usaha kerajaan negeri melaksanakan pelbagai agenda  pembangunan menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya, yang bukan saja memerlukan  pekerja yang berdaya saing tetapi harus mematuhi perundangan negara”, tegasnya. 

Beliau juga berharap kira-kira 178,000 majikan di negeri ini akan sama-sama mengambil  bahagian menandatangani ikrar dan akujanji dalam memerangi jenayah  pemerdagangan orang dan buruh paksa. Majikan sebagai orang penting harus melihat  isu ini dengan serius, menyokong dan menanam iltizam untuk menangani jenayah yang  mampu menggugat keselamatan rakyat di negeri ini. 

Tamat