Ketua Menteri yakin GRS-PH Plus kembali memerintah selepas PRN17

KOTA BELUD: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus yang  membentuk kerajaan negeri ketika ini mampu kembali memerintah selepas Pilihan Raya  Negeri Ke-17 (PRN17). 

Keyakinan itu disuarakan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor  berdasarkan perkembangan semasa politik dan penerimaan rakyat terhadap kerajaan  sedia ada. 

Katanya, gabungan berkenaan memiliki kekuatan untuk meneruskan khidmat kepada  rakyat dan membangunkan negeri ini ke tahap yang lebih baik. 

“Saya tahu kekuatan parti kita, InsyaAllah, kita akan bersama dengan PH Plus, kita tetap  akan menjadi kerajaan selepas PRN nanti. 

“InsyaAllah, rakyat mahukan perubahan dan mahukan GRS-PH Plus ini terus  memerintah negeri,” katanya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan  Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Usukan Tahun 2024 di Dewan Datuk Japlin  Akim, Kampung Jawi-Jawi di sini pada Ahad. 

Beliau yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, banyak perkara yang perlu diambil  kira bagi menghadapi PRN akan datang, termasuk berkaitan kepentingan rakan dalam  GRS dan Kerajaan Perpaduan. 

Katanya, itu antara syarat penting bagi memastikan kerajaan sedia ada dapat  dikekalkan selepas PRN17 nanti, di samping menguatkan lagi Gagasan Rakyat yang  menjadi tunjang GRS. 

“Yang penting kepada kita terutama sekali di Usukan, kalau ada semangat kita mahu  bertanding di Usukan, parti Gagasan Rakyat mesti kuat dan mantap. 

“Ini syarat utama dan kita mahu semua ahli parti bekerja kuat untuk hadapi cabaran dan  PRN nanti kerana banyak perkara perlu diambil kira pada PRN akan datang. 

“Kita mesti fikir kepentingan rakan dalam GRS dan Kerajaan Perpaduan kerana kita  mahu terus memerintah Sabah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri mengulangi pendirian kerajaan negeri pimpinannya  mengenai kepentingan mempunyai hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan. 

“Dalam politik, kerajaan negeri mesti “ngam” dan bekerjasama rapat dengan Kerajaan  Persekutuan. Ini penting kerana sejarah lalu kita mesti tahu, apabila kerajaan negeri  tidak bekerjasama dengan kerajaan persekutuan, apa jadi? 

“Saya tidak mahu cakap di sini, nanti ada yang terasa. Jadi, ia perlu kerana kita dalam  satu negara Malaysia. 

“Jangan kita terlampau perkauman, terlampau kenegerian dan kekampungan. Orang  cerita dunia tanpa sempadan, kita kampung, cerita negeri kita, tidak cerita pasal negara.  Jadi, kita kena pandai berpolitik, kita tidak boleh bermusuh dengan kerajaan  persekutuan,” katanya. 

Hajiji berkata, amalan itulah yang menjadi pegangan kerajaan pimpinannya sehingga  berjaya mencapai banyak kejayaan walaupun baru lebih setahun Kerajaan Perpaduan  pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim memerintah. 

“Dalam tempoh saya ini dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim banyak perkara  berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditunaikan, baru setahun lebih. 

“Sekarang hanya tinggal beberapa isu saja lagi. Kita tidak pernah undur meminta  kerajaan Persekutuan melaksanakan dan menunaikan apa yang termaktub dalam  MA63,” katanya. 

Tamat