Sabah punyai 28 orang Pegawai Kerja Sosial Perubatan

KOTA KINABALU: Sabah hanya mempunyai seramai 28 orang Pegawai Kerja Sosial  Perubatan (PKSP) berkhidmat di sebanyak 24 buah hospital seluruh negeri merangkumi  hospital negeri, hospital pakar major dan minor, hospital tanpa pakar serta hospital  institusi. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, jumlah itu tidak  mencukupi untuk menangani permasalahan pesakit yang memerlukan intervensi lanjut  ke arah mencapai kefungsian sosial yang optimum. 

Beliau berkata, Sabah merupakan sebuah negeri yang besar dan kebolehcapaian  kepada perkhidmatan kesihatan bagi mereka yang tinggal di pedalaman akan  menghadapi beberapa halangan disebabkan faktor geografi dan kemudahan  pengangkutan serta keadaan sosio ekonomi keluarga. 

“Hanya terdapat 28 orang PKSP yang ada bagi mengendalikan kes-kes yang dirujuk  untuk bantuan psikososial dan kewangan bagi pembelian peralatan dalam memenuhi  keperluan rawatan, sudah tentu jumlah ini tidak mencukupi”, katanya ketika merasmikan  Persidangan Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) Malaysia ke-27 di Ballroom Hotel  7 Suria pada Rabu. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima  Masidi Manjun. 

Hajiji berkata, kos perubatan semakin meningkat pada masa ini secara langsung  memberikan kesan besar kepada kemampuan rakyat mendapatkan rawatan kesihatan.  

Menurutnya ekoran terkesan dari segi ekonomi, didapati jumlah pesakit yang  mendapatkan rawatan di hospital kerajaan mengalami peningkatan dan menambah lagi  cabaran kepada warga kesihatan untuk menyediakan perkhidmatan yang berkesan dan  menyeluruh.  

Sehubungan ini katanya, perkhidmatan kerja sosial perubatan menjadi amat signifikan  bagi memenuhi keperluan pesakit yang semakin kompleks dan dinamik, sejajar dengan  aspirasi reformasi kesihatan negara iaitu sistem kesihatan yang saksama dan  berpaksikan rakyat.

“Justeru, PKSP memainkan peranan membina jaringan kerjasama dengan agensi  kerajaan dan swasta yang menyediakan sumber bantuan bagi membantu pesakit miskin  dan tidak berkemampuan semasa menerima rawatan atau pemulihan. Mereka juga  dapat membantu pesakit (klien) untuk mencapai kesihatan yang lebih baik melalui  sistem penyampaian perkhidmatan yang berkualiti tinggi.  

“Pesakit di negeri ini mempunyai cabaran tambahan apabila mendapatkan rawatan di  hospital, institusi dan klinik kesihatan berikutan isu demografi negeri dan jarak rumah  mereka di pedalaman. Oleh itu, PKSP perlu menggunakan teknologi terkini selaras  dengan perkembangan semasa dalam memberikan perkhidmatan kepada pesakit. 

“Iktibar perlu diambil seperti semasa berlakunya wabak COVID-19. Walaupun tidak  dapat berinteraksi secara bersemuka dengan pesakit, namun perkhidmatan diteruskan  melalui kaedah teknologi terkini seperti konsultasi secara maya agar kesihatan dan  kebajikan pesakit terus terpelihara, terutama pesakit yang tidak dapat hadir untuk sesi  konsultasi susulan di fasiliti rawatan”, katanya. 

Hajiji berharap PKSP sentiasa komited meneroka sumber-sumber baharu bagi  memenuhi keperluan pesakit secara holistik dari segenap segi dalam proses  mentransformasikan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada semua peringkat  rakyat.  

Beliau juga berharap Persidangan PKSP Malaysia ke-27 yang bertemakan  ‘Keharmonian Hidup: Transformasi Masa Depan Bersama’ akan membuahkan hasil  yang memberi manfaat bukan saja kepada PKSP, juga kepada rakyat Sabah  keseluruhannya.  

“Kepada semua PKSP, teruskan momentum dan usaha profesional dalam memberikan  perkhidmatan yang terbaik kepada semua pesakit terutamanya pesakit yang kurang  berkemampuan”, tegasnya. 

Tamat