KM: Kerajaan luluskan RM1.5 juta kepada persatuan wanita di Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah memperuntukkan sejumlah RM1.5 juta  kepada persatuan-persatuan wanita dan badan bukan kerajaan (NGO) wanita bagi  melaksanakan lebih banyak program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada  pembangunan wanita di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji  Haji Noor. 

Beliau berkata, peruntukan itu juga sebagai tanda sokongan daripada kerajaan yang  amat menghargai peranan dan sumbangan wanita secara keseluruhannya. 

“Justeru, melihat kepada kepentingan peranan persatuan wanita, saya telah meluluskan  peruntukan sebanyak RM1.5 juta kepada persatuan-persatuan dan badan bukan  kerajaan (NGO) wanita di negeri ini, yang akan diselaraskan oleh Jabatan Hal Ehwal  Wanita Sabah (JHEWA).  

“Saya berharap peruntukan dapat membantu persatuan wanita dalam melaksanakan  program atau aktiviti yang memberi manfaat kepada wanita di seluruh negeri ini. Kita  sememangnya memperakui betapa pentingnya peranan dan sumbangan kaum wanita  dalam apa jua bidang ke arah kemajuan dan pembangunan negara. 

“Ini termasuklah dalam pembangunan institusi kekeluargaan, pendidikan, ekonomi dan  pentadbiran serta arena politik,” katanya sempena Majlis Sambutan Hari Hari Wanita  peringkat negeri Sabah di sini pada Jumaat malam. 

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri  Kerja Raya, Datuk lr Shahelmey Yahya. 

Katanya, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM6.36 juta kepada JHEWA  dan RM700,000.00 kepada Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), pada tahun ini bagi  melaksanakan pelbagai projek dan program pembangunan wanita. 

“Justeru, saya mahu MPWS sebagai badan pemikir dan penasihat berhubung hal ehwal  wanita, akan lebih agresif dan proaktif dalam menyumbangkan buah fikiran dan idea  baharu, ke arah memperkasakan lagi penyertaan dan pembangunan kaum wanita di  Sabah.

“Sementara itu, JHEWA sebagai agensi kerajaan negeri yang dipertanggungjawabkan  menangani hal ehwal wanita, diharapkan terus melaksanakan program pembangunan  wanita secara efektif dan efisien menepati sasaran dan perancangan,” katanya. 

Beliau berkata ramai dalam kalangan wanita pada hari ini sudah seiring dengan  pencapaian golongan lelaki, termasuk berjawatan tinggi dalam pasukan keselamatan  negara; jawatan yang suatu ketika dahulu hanya dimonopoli oleh lelaki.  

“Tidak kurang juga ramai yang menjadi doktor, peguam, jurutera, termasuklah  menceburi kerjaya sebagai juruterbang dan angkasawan. Ini jelas membuktikan bahawa  wanita juga adalah pemangkin kepada kecemerlangan negara, selaras dengan aspirasi  Masyarakat Madani.  

“Dalam konteks negeri Sabah, kita sentiasa menyokong dan mengiktiraf golongan  wanita untuk menyertai kumpulan pembuat dasar atau pembuat keputusan. Setakat ini,  kita mempunyai beberapa wanita yang menyandang jawatan tertinggi termasuk dalam  Kabinet negeri selain mengetuai atau menerajui sektor awam serta swasta. 

“Saya percaya lebih ramai lagi golongan wanita akan menjadi peneraju atau ketua  dalam sektor awam mahu pun swasta pada masa hadapan,” katanya. 

Tamat