KM serah 444 geran tanah kepada penduduk Kudat

KUDAT: Kerajaan negeri menyerahkan sejumlah 444 geran tanah anak negeri kepada  penduduk dari tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam daerah Kudat  melibatkan jumlah keluasan 1,130.09 hektar. 

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyerahkan geran-geran itu  sempena Pelancaran Program Bakti Madani Kudat 2024 di Dataran Tomborungus di  Kudat, pada Sabtu. 

“Dengan penyerahan geran tanah ini, kerajaan berharap dapat meningkatkan taraf  hidup rakyat dan memberikan mereka peluang untuk membangunkan tanah tersebut  demi masa depan yang lebih cerah. 

“Penyerahan geran tanah anak negeri pada hari ini berikutan beberapa siri penyerahan  geran tanah yang telah dilaksanakan di beberapa kawasan antaranya di Pitas dan di  Pintasan, Kota Belud.  

“Ini adalah bukti komitmen kerajaan negeri dalam memastikan hak dan kepentingan  rakyat sentiasa diberi keutamaan. Tanggungjawab ini diambil dengan penuh dedikasi  untuk memastikan kesejahteraan dan kestabilan sosio ekonomi rakyat,” katanya. 

Pemberian geran itu melibatkan sebanyak 353 untuk DUN Matunggung; DUN Tanjong  Kapor (55 geran) dan; DUN Banggi (36 geran). 

Pada majlis itu, Ketua Menteri turut menekankan pentingnya membawa pembangunan  di daerah berkenaan termasuk bercadang mewujudkan satu taman perindustrian yang  baharu di Kudat. 

Beliau berkata, pengwujudan taman perindustrian di Kudat sesuai kerana daerah ini  mempunyai pelbagai kemudahan yang sedia ada termasuk laut yang dalam dan  pelabuhan selain lokasi yang strategik kerana dekat dengan beberapa negara seperti  China, Korea dan Jepun. 

“Justeru, amat penting untuk kita membawa pembangunan di daerah ini dengan  pembinaan taman perindustrian, yang sudah pasti memberi manfaat kepada penduduk  dan daerah ini.

“Seluas kira-kira 5,000 ekar kawasan diperlukan dan sudah mengenalpasti kawasan  terbabit. Oleh itu, kita memerlukan kerjasama daripada wakil rakyat, Ahli Parlimen dan  rakyat yang mungkin terlibat tanahnya. 

“Konsep kita bukan ambil tanah tetapi kita libatkan rakyat yang ada tanah di kawasan  yang dikenalpasti. Bagaimanapun, kita akan berbincang lebih lanjut dengan Menteri  Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri serta Ahli Parlimen di daerah  ini,” katanya sambil menambah cadangan ini juga perlu diteliti secara terperinci terlebih  dahulu. 

Mengenai majlis itu, beliau berkata Program Bakti Madani Kudat 2024 adalah satu  pendekatan yang sangat relevan bagi meluaskan lagi kefahaman konsep Malaysia  Madani dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya kepada masyarakat hingga ke peringkat akar  umbi.  

“Semua usaha kerajaan ini terutama menerusi agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya kini  berada di landasan yang betul, yang pastinya telah dan akan mampu menyediakan lebih  banyak peluang pekerjaan sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat. 

“Program hari ini adalah satu program yang amat baik untuk menyantuni rakyat dengan  pelbagai perkhidmatan baik daripada agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, syarikat syarikat GLC), swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) telah disediakan menerusi  reruai pameran masing-masing. 

“Justeru, saya berharap program ini diperluaskan ke daerah lain agar lebih ramai rakyat  di peringkat akar umbi menerima manfaat daripada program ini. Kita akan terus  berusaha untuk membina ekonomi yang mampan dan inklusif, termasuklah  mempromosikan pelaburan dalam sektor-sektor utama seperti pelancongan, pertanian,  dan perindustrian serta ekonomi baharu di negeri ini iaitu Ekonomi Biru,” katanya. 

Tamat