Kerjasama Kerajaan Negeri, Jabatan Pendidikan realisasikan agenda memperkasa pendidikan negeri

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan  menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam merealisasikan agenda kerajaan ke arah  memperkasa, meningkatkan kecemerlangan dan mutu pendidikan di negeri ini. 

Katua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kerjasama ini amat penting  kerana kecemerlangan pendidikan akan menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti  kehidupan rakyat keseluruhannya.  

Beliau berkata, usaha itu termasuklah menambah baik dan meningkatkan lagi prasarana  pendidikan di negeri ini, seiring dengan komitmen kerajaan negeri dalam melahirkan modal  insan yang berkemahiran, cemerlang dan mampu bersaing.  

“Justeru, semua pihak yang berkaitan termasuk warga Jabatan Pendidikan, pendidik dan  ibu bapa perlu berganding bahu serta bekerjasama demi kejayaan dan masa depan anak anak kita”. 

“Sebab itu dalam konteks kerajaan negeri, kita terus memperkukuhkan lagi pembangunan  modal insan agar lebih ramai anak Sabah dapat melanjutkan pendidikan mereka hingga ke  tahap tertinggi selain mengikuti kursus kemahiran yang diperlukan. Dalam hal ini, kita  menyediakan peruntukan sebanyak RM474.55 juta pada tahun ini”, katanya semasa  merasmikan Majlis Pengiktirafan Kecemerlangan Akademik (MEKAR) Kali Ke-12 JPN  Sabah Tahun 2024 di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Isnin. 

Hajiji berkata, kerajaan negeri telah melancarkan Portal Tajaan Pendidikan Sabah yang  menggabungkan semua penaja utama dalam pendidikan di negeri ini melalui satu portal. Ia  adalah inisiatif baharu di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam memperkasa  bantuan kepada anak-anak Sabah terutama yang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi  melalui gabungan kerjasama badan-badan penaja utama dan pemberi bantuan pendidikan.  

Beliau mahu Jabatan Pendidikan Negeri membantu memperluaskan hebahan mengenai  portal itu bagi memperkasa modal insan menerusi pembangunan sektor pendidikan di  negeri ini. 

Beliau berharap, ilmu-ilmu dan cara pengajaran berasaskan teknologi komunikasi dan  internet (ICT) terus diamalkan dan dibudayakan, sekaligus menjadikan cabaran dan ilmu  semasa pendemik sebagai pengubahcara dalam pengajaran, sesuai dengan aspirasi  negara untuk memiliki sistem pendidikan yang berdaya saing, kompetitif dan cemerlang. 

“Kewujudan sebuah sistem pendidikan yang bersifat ‘glokal’ iaitu mampu berdaya saing di  peringkat global tetapi berpegang teguh pada jati diri amat penting. Justeru, warga JPN  Sabah khususnya akan berperanan dan bertanggungjawab dalam menghadapi era  Revolusi Industri 4.0.”, katanya. 

Menurutnya, kerajaan negeri juga sentiasa menyokong usaha JPN dalam menjayakan  hasrat dalam 9 Fokus Lanskap Pendidikan yang terkandung dalam hala tuju pencapaian  yang digariskan oleh jabatan itu bermula tahun 2024 hingga 2025.  

Katanya, ini termasuklah deklarasi yang diterjemah daripada Lanskap Pendidikan iaitu  menoktahkan Gred Purata Negeri (GPN) SPM ‘Kepala 5’, seiring dengan hala tuju Pelan  Pembangunan SMJ 1.0 yang menggariskan pembangunan modal insan antara objektif  utama.  

"Kita mengharapkan agar kecemerlangan yang dikecapi hari ini dibudayakan dan dijadikan  amalan berterusan serta menjadi contoh teladan kepada semua rakan warga Jabatan  Pendidikan dalam membentuk ekosistem pendidikan yang cemerlang", tambahnya. 

Hajiji juga berharap pengiktirafan yang diberikan menerusi MEKAR akan menjadi  pendorong dan pembakar semangat kepada warga pendidik untuk terus meningkatkan  kecemerlangan pada masa akan datang dan sebagai acuan kecemerlangan yang wajar  diterapkan ke arah pembudayaan kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan. 

"Semoga sektor pendidikan negeri akan terus berkembang maju selari dengan kepesatan  dunia pendidikan masakini, yang juga terkait dengan pembangunan dan kecanggihan  teknologi maklumat dalam abad ke-21 ini. Sesungguhnya, kita tidak lagi mampu untuk  tertinggal jauh di belakang dalam apa jua bidang, terutamanya dalam sektor pendidikan  yang terpenting dalam mencipta dan membina pembangunan modal insan demi kemajuan  serta pembangunan negeri dan negara", katanya. 

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr.Haji Mohd Arifin  Mohd.Arif, Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Haji Raisin Saidin dan Pengarah Yayasan  Sabah, Dato' Sri Haji Gulamhaidar Khan Bahadar. 

Tamat