Kerjasama padu kekang ancaman pencerobohan anasir asing, militan

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan penuh dan  kerjasama padu kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM)  dan semua pasukan keselamatan dalam mengekang ancaman pencerobohan anasir  asing dan militan, anasir keganasan (fahaman pelampau), kebanjiran pendatang tanpa  izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan khususnya di Zon Selamat Sabah Timur  (ESSZone). 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kementerian Dalam  Negeri (KDN) amnya dan ESSCOM khasnya terus giat mengadakan operasi-operasi  bagi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara daripada dibolosi oleh pihak yang  tidak bertanggungjawab dan menganggu gugat ketenteraman negeri Sabah.  

"Sejajar dengan pemerkasaan hala tuju Sabah Maju Jaya, saya amat menyokong  inisiatif-inisiatif penambahbaikan infrastruktur, aset, sumber manusia dan keperluan  agensi keselamatan, penguatkuasaan dan pertahanan bagi memastikan tahap  kebolehoperasian dan kesiapsiagaan berada pada tahap tertinggi", katanya pada  Mesyuarat Jawatankuasa Bersama ESS Zone Bilangan 1, Tahun 2024 di Menara  Kinabalu pada Khamis. 

Hajiji dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempengerusikan bersama mesyuarat itu.  

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong dan  Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Haji Ruji Haji Ubi, Peguam Besar  Negeri, Datuk Brenndon Soh dan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan  Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri, Datuk Haji Ag. Shahminan Datuk Hj. Ag. Sahari. 

Menurutnya, sebagai sebahagian daripada Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei  Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), Sabah berada pada kedudukan  lokasi yang sangat strategik dengan Pantai Timur Sabah sebagai hab pertumbuhan  ekonomi baharu kerana hampir dengan EAGA yang lain. 

Hajiji berkata, pewujudan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan Timur  juga akan menambah merit dan keunggulan negeri Sabah.  

"Perkembangan-perkembangan positif ini wajar diambil peluang kerana kebanjiran  manusia dan perusahaan ke Borneo akan memangkin pertumbuhan ekonomi negeri ini. 

Kerajaan percaya pelabur domestik dan antarabangsa boleh menerokai sub-rantau ini  dengan pasaran lebih 70 juta pengguna dan berkembang", katanya. 

Katanya, ESSCOM telah menjadi jenama keselamatan (brand) yang dijadikan rujukan  oleh pihak luar negara untuk membuat pelaburan. 

Menurutnya, kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan melalui KDN  amat diperlukan bagi memastikan perancangan pembangunan ekonomi Sabah dapat  dilaksanakan dengan jayanya,  

Katanya, Kerajaan Negeri komited memastikan situasi keselamatan di sempadan  maritim meliputi kawasan gugusan kepulauan, pesisiran dan sungai serta sempadan  daratan khususnya di ESSZone dalam keadaan baik dan terkawal.  

Hajiji berkata, ini kerana keluasan maritim yang besar di Sabah merupakan  penyumbang kepada penjanaan kemakmuran ekonomi kepada negara Malaysia  sebagai sebuah wilayah perairan yang tidak lepas dari ancaman keselamatan serta  aktiviti jenayah merentasi sempadan. 

"Oleh itu penyelarasan yang jitu antara Kerajaan Negeri dengan KDN melalui semua  agensi dibawahnya seperti ESSCOM akan sentiasa digembleng bagi menangani isu-isu  tersebut di Sabah khususnya dan di Malaysia amnya melalui langkah-langkah proaktif  dan strategik bagi memelihara kedaulatan, mencegah dan membanteras ancaman  keselamatan dari terus berlaku pada masa hadapan" tegasnya. 

Hajiji berharap melalui Mesyuarat Jawatankuasa Bersama itu dapat mencapai muafakat  dalam meningkatkan lagi pelaksanaan operasi keselamatan dan program  mensejahterakan rakyat, seterusnya meningkatkan keyakinan masyarakat di wilayah  ini. 

Sementara itu, Hajiji dan Saifuddin Nasution Ismail turut menghadiri Mesyuarat  Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Di Sabah (JKPWAS-INDUK) Bil 1,  Tahun 2024 di Menara Kinabalu. 

Tamat