Industri halal Sabah terus diperkasa

KOTA KINABALU: Industri halal di Sabah khususnya membabitkan pengusaha IKS  akan terus diperkasa dan terpelihara menerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Halal  Hub, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, usaha ini juga seiring dengan komitmen kerajaan yang terus komited untuk terus memperkasakan dan merancakkan industri halal yang lebih menyeluruh di negeri  ini. 

Beliau berkata, dengan adanya pensijilan halal dapat membantu usahawan IKS  mengetengahkan produk mereka bukan sahaja setakat di dalam negeri tetapi juga di  luar negara.  

Menurutnya, pensijilan halal merupakan elemen penting dalam menyakinkan  masyarakat pengguna bahawa produk tersebut benar-benar halal dan selamat dimakan  dan digunakan. Konsep halal berkait rapat dengan produk yang berkualiti tinggi dari segi  aspek kebersihan dan pematuhan terhadap syariah agama. 

“Saya berharap usaha MUIS yang telah memperkenal dan membuat pendekatan drastik  bagi membantu IKS dalam memperolehi pensijilan Halal Malaysia melalui Sijil Halal  Industri Kotej (SHIK) bagi pengusaha yang belum memiliki tempat khusus bagi  memproses produk atau kilang tetap, akan diperluaskan ke seluruh negeri”,  

“Cara ini sudah tentu akan membantu IKS mempromosikan produk mereka dengan lebih  meluas. Saya mengharapkan agar pengusaha-pengusaha IKS mengambil peluang ini  bagi memperolehi sijil Halal Malaysia melalui SHIK yang sekali gus boleh  mengembangkan perniagaan mereka”, katanya. 

Beliau berkata demikian pada Sabah International Halal Expo (SAHEX) 2024 di Sabah  International Convention Centre (SICC) pada Ahad. Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh  Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Datuk Haji  Mohd Arif. 

Katanya, SAHEX 2024 merupakan program yang sangat baik dalam memperkenalkan  produk-produk tempatan yang telah dipersijilkan halal oleh MUIS melalui MUIS Halal  Hub di negeri ini.

Hajiji berkata, halal bukan sahaja dikaitkan dengan perindustrian makanan dan  minuman semata-mata, skopnya amat luas merangkumi produk dan perkhidmatan  melibatkan penjagaan kesihatan dan farmaseutikal, kosmetik dan pelancongan.  

Menurutnya, industri halal di Malaysia menyediakan peluang yang amat besar, justeru  pengusaha IKS di Sabah perlu merebut peluang untuk terbabit dalam industri halal di  negara ini. 

“Kerjasama antara agensi-agensi kerajaan dan swasta di negeri ini amat penting dalam  pengurusan halal bagi memperkasakan aspek pensijilan halal khususnya kepada  usahawan IKS. Usaha ini penting agar mereka juga mampu bersaing dan memiliki  keupayaan dalam pasaran industri halal di Sabah”. 

“Ini juga bagi memastikan lebih ramai lagi usahawan IKS di Sabah akan mempunyai  persijilan halal bagi memudahkan mereka mempromosikan produk hingga ke luar  negara”, katanya yang berharap lebih banyak lagi kempen kesedaran mendapatkan sijil  halal khususnya untuk usahawan IKS di negeri ini. 

Tamat