RM131 juta untuk pembangunan dan operasi sekolah agama Islam, masjid

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM131 juta untuk  pembangunan dan operasi sekolah agama Islam dan masjid serta program-program  kerohanian di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, pada tahun ini. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajji Haji Noor, berkata ini adalah antara  pelbagai usaha atau inisiatif kerajaan negeri untuk membantu rakyat, membangunkan  dan seterusnya membawa lebih banyak lagi kemajuan di negeri ini.  

“Kerajaan negeri terus memperkukuhkan pembangunan modal insan dengan  penyediaan pelbagai bantuan, pinjaman dan peruntukan selain peluang pendidikan  kepada rakyat tanpa mengira kaum, bangsa serta agama.  

“Baru-baru ini, saya telah melancarkan Portal Tajaan Pendidikan Sabah atau PTPS  yang menggabungkan semua penaja utama dalam pendidikan di negeri ini, di bawah  satu platform.  

“PTPS adalah inisiatif baharu di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya dalam memperkasa  bantuan kepada anak-anak Sabah, terutama yang melanjutkan pelajaran ke peringkat  pengajian tinggi, melalui gabungan kerjasama badan-badan penaja utama dan pemberi  bantuan pendidikan di negeri ini,” katanya sempena Majlis Graduasi Maahad Tahfiz  Sulaimaniyyah Malaysia Timur Tahun 2024 di Dewan Kompleks JKKN Sabah, di sini  pada Sabtu. 

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada sekolah sekolah tahfiz di negeri ini dan akan terus membantu sebarang keperluan. 

Sehubungan itu, beliau mahu semua pelajar Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Malaysia  Timur yang melanjutkan pelajaran ke Turkiye agar menimba ilmu sebanyak mungkin  bagi menyumbang kepada negeri, bangsa dan agama, apabila tamat pengajian kelak. 

“Pelajar-pelajar ini juga perlu berani untuk berdaya kreatif dan meneroka ilmu serta  inovasi baharu agar mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang. Kerajaan komited  dalam pembangunan pendidikan Islam di negeri ini, sebab itu ia perlu dianggap sebagai  jihad terpenting kerana ilmu pengetahuan yang bakal diperolehi dapat disumbang  kepada masyarakat dalam pelbagai cara. 

“Ini termasuklah dalam membantu agenda pembangunan negeri yang turut memerlukan  modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam pelbagai bidang. Justeru,  saya berharap semua pelajar yang melanjutkan pelajaran ke Turkiye memiliki jati diri  yang kental agar tidak terbabit atau tidak mudah terpengaruh dengan dakyah tertentu  yang menyeleweng atas nama Islam.  

“Saya mahu semua pelajar berpegang kepada tujuan utama mereka iaitu menimba ilmu  sebanyak mungkin di sana bagi menyumbang kepada negeri, bangsa dan agama,”  katanya. 

Ketua Menteri turut berharap pelajar-pelajar yang lahir dari Maahad ini dapat membantu  usaha negara dalam memartabatkan agama Islam di dalam pelbagai sektor yang bakal  mereka ceburi.  

“Sentiasalah berpegang kepada al-Quran dan bawalah pulang ilmu yang diperolehi di  Turkiye untuk dikongsikan kepada masyarakat di negeri ini khususnya,” katanya. 

Seramai 56 pelajar Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Malaysia Timur telah berjaya dipilih  melanjutkan pengajian ke Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah di Turkiye. 

Tamat