Inisiatif SMJ perkasa modal insan, pendidikan Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menerusi inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) akan  terus menyokong dan komited memperkasa modal insan menerusi pembangunan sektor  pendidikan di negeri ini. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, banyak bantuan dan inisiatif  yang diberikan kerajaan menerusi agensi-agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan anak anak Sabah mendapat pendidikan yang sempurna. 

Beliau berkata, antaranya Kumpulan Yayasan Sabah (YS) telah menyediakan beberapa inisiatif  bantuan pendidikan kepada anak-anak Sabah yang merangkumi Biasiswa, Dermasiswa  Menengah, Biasiswa dan Dermasiswa Pengajian Tinggi dan Pinjaman Pengajian Tinggi dengan  seramai 121,897 orang pelajar telah mendapat manfaat melibatkan perbelanjaan berjumlah  RM868,324,000.00 sejak tahun 1967 hingga Jun 2024. 

"Pada tahun 2024 ini sahaja, YS telah menaja biasiswa kepada seramai 1,179 dengan  peruntukan RM15,271,000.00 dan Bantuan Pinjaman membabitkan 675 pelajar dengan  peruntukan RM12,055.000.00", katanya pada Majlis Pelancaran Portal Tajaan Pendidikan  Sabah (PTPS) di Dewan Auditorium, Menara Kinabalu pada Selasa. 

Hajiji berkata, kerajaan negeri pada tahun 2023 telah menambah peruntukan Biasiswa Kerajaan  Negeri Sabah daripada RM55 juta kepada RM101 juta dengan jumlah tajaan yang aktif pada  tahun ini seramai 7,275 pelajar di dalam dan luar negara.  

Menurutnya, penambahan peruntukan itu membolehkan lebih ramai anak Sabah yang kurang  berkemampuan berpeluang melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi.  

Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah  (TPNS) yang dilancarkan pada 2 Jun 2023 untuk mengumpul dana bagi membolehkan lebih  banyak peluang tajaan dapat disalurkan kepada anak-anak Sabah yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.  

Menurutnya, dengan jumlah sumbangan dana yang terkumpul sebanyak RM55,700,000.00,  seramai 5,040 orang pelajar telah mendapat bantuan dengan perbelanjaan berjumlah  RM5,167,000.00. Kerajaan negeri akan terus memperkasa TPNS bagi membantu pelajar pelajar yang menghadapi masalah tajaan pendidikan. 

Selain itu, katanya Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) juga komited terhadap kebajikan yang  diperlukan oleh anak-anak Sabah yang melanjutkan pengajian dengan memberikan bantuan  pendidikan yuran pendaftaran, bantuan tiket penerbangan secara one-off serta dermasiswa  khususnya kursus pengajian Islam. 

"Pada tahun 2023, Dermasiswa telah diberikan kepada 1,900 pelajar dengan perbelanjaan  keseluruhan berjumlah RM12,301,000.00. Manakala untuk bantuan pendidikan secara one-off,  bantuan-bantuan yang diberikan ialah yuran pendaftaran awal, bantuan tiket penerbangan one off dan Anugerah pelajar Cemerlang (APC) untuk Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)", katanya. 

Hajiji berkata, kerajaan negeri juga telah melancarkan pelbagai inisiatif di bawah Pejabat  Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) dengan 10 jenis bantuan dalam  pelbagai aspek. 

Katanya, prihatin dengan rintihan pelajar mengenai kos tiket penerbangan yang tinggi, kerajaan  negeri buat julung kalinya telah memberi bantuan subsidi tiket penerbangan menerusi Subsidi  Graduan Rindu Sabah (SubFly) berjumlah RM600.00 kepada semua pelajar Sabah yang  belajar di universiti awam dan swasta di Semenanjung, Sarawak dan Labuan pada bulan Mac  lalu dengan peruntukan sebanyak RM 10 juta.  

Beliau berkata kerajaan menerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah memberikan bantuan  kewangan awal pendidikan kepada pelajar-pelajar di peringkat asasi, matrikulasi, diploma dan  ijazah sarjana muda di universiti awam, universiti swasta dan politeknik untuk semua bidang  pengajian. 

Beliau berkata, bermula dari tahun 2020 hingga kini seramai 1,160 pelajar telah menerima  manfaat bantuan secara one-off itu melibatkan peruntukan sebanyak RM452,250.00. 

Tamat