PTPS gabungkan semua penaja pendidikan di Sabah

KOTA KINABALU: Sabah melakar sejarah apabila menggabungkan semua penaja utama dalam  pendidikan di negeri ini dibawah satu portal dikenali Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS),  dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, hari ini. 

Hajiji berkata, portal itu adalah inisiatif baharu dibawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam  memperkasa bantuan kepada anak-anak Sabah terutama yang melanjutkan pengajian ke  peringkat pengajian tinggi melalui gabungan kerjasama badan-badan penaja utama dan  pemberi bantuan pendidikan di negeri ini.  

Katanya, gabungan itu terdiri daripada Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN), Kumpulan  Yayasan Sabah (YS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) serta agensi pemberi bantuan  dalam pendidikan iaitu Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) dan  Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah. 

Menurutnya, pembangunan portal yang bersepadu itu merupakan pendekatan holistik untuk  menyelaraskan semua badan-badan penaja di Sabah dan agensi pemberi bantuan pendidikan.  

"Portal ini akan menjadi platfom rasmi kepada pelajar untuk memohon tajaan pendidikan di  negeri ini. Sebelum ini, semua penaja mengendalikan proses tajaan secara berasingan melalui  laman web masing-masing. Namun, melalui portal ini permohonan akan digabungkan dan  diintegrasikan di dalam satu portal". 

"Justeru pelancaran portal ini memberi impak yang sangat positif kerana memudahkan pelajar  untuk memohon tajaan dan bantuan pendidikan yang bersesuaian dengan kursus atau tempat  pengajian". 

"Selain itu, ia dapat memastikan bantuan diberikan secara efisien dan berkesan serta mengatasi  pertindihan penajaan dengan memberikan peluang yang adil kepada pelajar serta menambah  lagi bilangan pelajar yang mendapat bantuan kewangan dan seterusnya menyokong  pembangunan modal insan negeri secara efektif", katanya pada Majlis Pelancaran PTPS di  Dewan Auditorium, Menara Kinabalu pada Selasa. 

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap anak-anak Sabah yang tidak mempunyai  tajaan dengan mengambil inisiatif mengadakan program Roadshow diketuai oleh Menteri Sains,  Teknologi dan Inovasi Negeri selaku exco pendidikan bersama badan-badan penaja dan  pemberi bantuan pendidikan di negeri Sabah terdiri daripada JPAN, YS, MUIS, Pejabat  Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) dan Perbadanan Baitulmal Negeri  Sabah. 

Menurutnya, program itu bertujuan menyantuni dan mengenalpasti pelajar-pelajar Sabah yang  tidak mempunyai tajaan dan mendengar suara mereka mengenai isu dan hal ehwal di universiti.  

Beliau berkata. program itu yang berlangsung dari bulan April hingga Jun lalu telah  mengenalpasti seramai 2,130 pelajar Sabah untuk diberikan tajaan setelah menyantuni pelajar pelajar Sabah di 26 universiti awam induk dan cawangan, melibatkan 11 negeri di Semenanjung  Malaysia dan Sarawak. 

Hajiji berharap lebih banyak syarikat korporat terus membantu bagi memperkasakan dana  sumbangan pendidikan negeri Sabah.  

Beliau juga mahu semua Pegawai Daerah dan Pegawai Daerah Kecil sama-sama memainkan  peranan menghebahkan maklumat tentang hala tuju pembangunan modal insan melalui PTPS. 

"Ini bertujuan bagi memastikan pelajar-pelajar luar bandar tidak tercicir dalam pembangunan  modal insan selaras dengan inisiatif SMJ. Kerajaan Negeri Sabah akan terus menyokong dan  komited dalam memperkasa modal insan menerusi pembangunan sektor pendidikan di negeri  ini", tegasnya. 

Tamat