RM100.17 juta untuk pembangunan belia, kemajuan sukan negeri Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM100.17 juta untuk  perbelanjaan mengurus, pembangunan belia dan kemajuan sukan di Sabah tahun ini,  kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak RM16.89 juta diperuntukkan untuk  melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kepimpinan, kemahiran dan  keusahawanan yang menjurus kepada pemerkasaan belia bagi mencapai  kesejahteraan sosioekonomi sejajar dengan Dasar Belia Sabah (DBS). 

Menurutnya, Kerajaan Negeri berusaha melaksanakan pelbagai program belia  membabitkan pembangunan kepimpinan dan kemahiran dalam memperkasakan  golongan belia seperti yang dilakukan oleh negeri Sarawak dan negara jiran yang lain. 

Beliau berkata demikian pada Program Ship for Southeast Asian Youth Program  (SSEAYP) Internasional Conference (SICO) BORNEO 2024 yang bertemakan  Merekayasa: Trend Dan Wawasan Untuk Masa Hadapan (Shaping The Future: Trends  And Insights For Tomorrow) di Crystal Ballroom Sabah Oriental Hotel pada Ahad.  

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Angin. 

Hajiji berkata, pertumbuhan ekonomi yang positif melalui pembangunan belia  memainkan peranan penting dalam kemajuan ekonomi di wilayah ini. Aspirasi dan  pandangan belia penting bagi kerajaan merangka hala tuju di masa hadapan.  

“Apa yang dirancang hari ini, akan diwarisi oleh belia-belia generasi akan datang kerana  mereka merupakan pewaris yang bakal memikul tanggungjawab menerajui negara di  masa hadapan”. 

“Belia merupakan golongan yang paling aktif dalam masyarakat dan bilangan mereka  adalah hampir separuh daripada jumlah penduduk negara kita. Sejak kemerdekaan,  belia negara turut berperanan dan menyumbang kepada proses pembinaan dan  pembangunan negara. Sumbangan ini meliputi pelbagai aspek termasuk dari segi  politik, ekonomi, sosial, budaya dan pendidikan”, katanya.

Hajiji berkata, belia juga perlu lebih berilmu dan berpengetahuan agar mereka mampu  berdaya saing dengan rakan serantau mahupun sejagat. Justeru, pendidikan hendaklah  selaras dengan penghayatan yang kuat terhadap ajaran agama, memandangkan dunia  hari ini lebih menjurus kepada kebejatan moral. 

Beliau yakin belia pada masa kini sangat berpotensi dan mempunyai bakat semula jadi.  Di era globalisasi, mereka diperlukan untuk sama-sama membantu  memperkembangkan ekonomi negara.  

“Para belia yang cekap dan kreatif dalam hal pengurusan dan perusahaan amat  membantu dalam mempelbagaikan sumber ekonomi negara. Jika belia ingin cemerlang,  mereka haruslah mampu berdikari sendiri tanpa perlu banyak bergantung kepada orang  lain. Pembentukan negara di masa hadapan bergantung kepada diri belia sendiri untuk  mencorak dan mewarnakannya”, katanya. 

Hajiji berkata, program SICO BORNEO 2024 merupakan pengiktirafan Kerajaan Negeri  terhadap usaha dan kejayaan seluruh belia selaku tunjang pembangunan negeri dan  negara, selain memberi peluang kepada belia dari Kepulauan Borneo untuk  mendapatkan pendedahan, pengetahuan, perkongsian dan berdialog bersama para  pemimpin di negeri ini.  

Persidangan Antarabangsa SICO Borneo 2024 selama 3 hari itu disertai oleh kira-kira  300 peserta dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Indonesia merupakan persidangan  pertama yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah bersama rakan  strategik, KABESA Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, dengan sokongan  SSEAYP International Malaysia (KABESA), khusus untuk belia di Borneo.  

SICO Borneo telah diadaptasi daripada SICO 2023 dan berfungsi sebagai platform  untuk peserta antarabangsa dan tempatan bertukar-tukar idea dan pengalaman serta  membincangkan isu-isu semasa berkaitan pembangunan belia dan peluang yang  tersedia untuk mereka.  

Tamat