KM: Produk pelancongan baharu akan diperbanyakkan

TAWAU: Kerajaan negeri kini sedang merangka pelbagai projek pelancongan dalam  pelbagai aspek di seluruh Sabah, antara usaha mencipta lebih banyak lagi produk  pelancongan baharu di negeri ini. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata usaha ini diambil bagi  memperbanyakkan lagi produk pelancongan yang boleh diketengahkan kepada  pengunjung termasuk berkaitan kebudayaan. 

“Seperti di Tawau, kerajaan akan melaksanakan beberapa projek pelancongan seperti  yang dicadangkan melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar  negeri untuk membangunkan lagi sektor pelancongan di daerah ini. 

““Antaranya, membina sebuah resort baharu di Tawau Hills Park yang merangkumi  chalet, laluan pejalan kaki, kolam air panas dan menempatkan Pusat Penyelidikan  Tenggiling. Selain itu, kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan  Alam Sekitar negeri juga akan menaik taraf kemudahan seperti Jeti Tawau yang  membawa pelancong dari Tawau ke Semporna.  

Tawau yang juga pintu masuk pengunjung ke Taman Laut Tun Sakaran yang popular di  Semporna, telah merekodkan seramai 25,684 pelawat dari dalam dan luar negara  dalam tempoh Januari hingga April lalu. Sehingga kini, terdapat 115 kekerapan  penerbangan mingguan dengan 20,200 kapasiti tempat duduk menghubungkan Tawau  ke Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Sandakan. Sehingga 15 Jun tahun  ini juga, terdapat 32 penerbangan sewa khas dari Nanjing dan Guangzhou, China ke  Tawau,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Tawau International  Cultural Centre (TICC) di tapak pembinaan TICC, Sabindo, di sini pada Sabtu. 

Mengenai majlis itu, Hajiji berkata pembinaan TICC sebagai mercu tanda baharu di  Tawau, pasti akan menjadi tarikan pelancong ke daerah itu. 

“Oleh itu,pembinaan TICC itu tepat pada masanya dan sudah pasti apabila siap kelak,  ia akan menjadi tempat penganjuran pelbagai acara kebudayaan termasuk Festival  Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT). Sudah pasti dengan adanya tarikan-tarikan  pelancongan baharu ini, ia akan membantu kita mencapai sasaran 3 juta pelancong ke  Sabah pada tahun ini. 

“Berdasarkan statistik Lembaga Pelancongan Sabah, seramai 1.004 juta pelancong  datang ke Sabah setakat bulan Januari hingga April tahun ini dengan membabitkan  396,584 pelancong antarabangsa dan 607,371 pelancong domestik. Keadaan ini amat  memberangsangkan kerana dalam tempoh Januari-April ini, anggaran resit  pelancongan adalah sebanyak RM2.23 bilion. 

“Pembinaan pusat ini antara persiapan Tawau sebagai bandar paling dekat dengan ibu  kota negara Indonesia yang akan berpindah ke Nusantara, yang pastinya akan  merancakkan lagi perdagangan dan pelancongan di daerah ini,” katanya. 

Sementara itu, TICC bangunan satu tingkat dua blok itu yang akan menjadi tempat untuk  mempromosikan kebudayaan turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antaranya  dewan konvensyen, bilik seminar dan mini teater. 

Tamat