Kerajaan Negeri tumpu program pembangunan infrastruktur, kemudahan asas

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan kepada program  pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam, terutama kemudahan asas yang  kritikal iaitu bekalan air dan elektrik yang amat diperlukan di negeri ini, kata Ketua  Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, usaha ini bukan sahaja sebagai pemangkin untuk memperkukuhkan ekonomi  negeri, juga memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat pada tahap yang lebih  selesa.  

Beliau berkata, kesungguhan dan komitmen Kerajaan Negeri dibuktikan melalui  penyediaan peruntukan terbesar dalam Belanjawan Negeri 2024 iaitu sebanyak RM2.63  bilion, dengan RM1.72 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Kerja Raya Sabah dan  jabatan di bawahnya. 

Menurutnya, kerajaan prihatin dengan keresahan rakyat Sabah terhadap masalah  kemudahan infrastruktur dan kemudahan asas seperti jalan raya, jambatan, cerun,  perparitan, perkhidmatan pembetungan, keretapi, pelabuhan dan dermaga,  pengurusan trafik, bangunan kerajaan dan lain-lain. 

“Justeru, kerjasama antara Kerajaan Negeri dan jurutera amat penting dalam  memastikan setiap pembangunan yang dirancang di negeri ini dapat dilaksanakan  dengan sebaiknya, memenuhi piawaian yang diperlukan sekali gus dapat memacu  pertumbuhan ekonomi di Sabah”. 

“Ini juga seiring dengan komitmen Kerajaan Negeri yang berusaha memperkasa  rangkaian jalan raya dan komited untuk menyempurnakan Projek Lebuh Raya Pan  Borneo di negeri ini”, katanya pada Majlis Makan Malam Tahunan kali ke-46 Institusi  Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Sabah di Magellan Sutera, Sutera Harbour Resort  pada Sabtu. 

Hajiji berkata, profesion jurutera telah memberikan sumbangan signifikan kepada  pembangunan negara termasuk di Sabah. Peranan yang dimainkan bukan hanya  membantu memacu ekonomi, juga meningkatkan kualiti hidup rakyat negeri ini.  

Menurutnya, usaha kerajaan negeri dalam memastikan Pelan Pembangunan Hala Tuju  Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat direalisasikan dan dinikmati oleh semua rakyat Sabah  amat memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk para jurutera.

Hajiji berkata, pembangunan profesional berterusan penting untuk membangunkan  pemimpin kejuruteraan. Jurutera berada di barisan hadapan dalam memacu pembinaan  negara dan aset penting sesebuah negara yang perlu terus mengembangkan  kepakaran teknikal untuk kekal relevan terutamanya dalam menyesuaikan diri dengan  perkembangan teknologi. 

Beliau berharap jurutera dan pemain industri di negara ini merebut peluang terutama  dalam perkembangan teknologi semasa bagi memastikan negeri ini dapat dibangunkan  dengan lebih baik berdasarkan amalan kejuruteraan yang betul serta menggunakan  teknologi yang terkini.  

“Sekiranya ini menjadi kenyataan, maka kita mampu untuk menarik lebih ramai pelabur,  sekali gus membuka peluang-peluang perkerjaan dan perkongsian pengetahuan serta  pengalaman dari negara luar ke negeri ini”, katanya. 

Menurutnya, Kerajaan Negeri melihat kepada organisasi seperti IEM untuk membantu  di mana-mana yang berkaitan dan relevan, memandangkan jurutera di setiap peringkat  boleh menggunakan pengetahuan profesional mereka untuk menyumbang kepada  peningkatan profesion dan produktiviti yang lebih tinggi untuk pembangunan negara. 

“Beberapa aspek perlu diambil kira dan dititikberatkan dalam memastikan usaha  pembangunan negeri ini tidak merosakkan sumber yang ada agar generasi masa depan  dapat menikmati sumber alam yang kita wariskan kelak. Pembangunan mampan  merupakan cabaran yang dihadapi, sebab itu untuk membangunkan negeri, ia  memerlukan keseimbangan antara alam sekitar dan pembangunan fizikal yang dibawa  untuk rakyat”, tegasnya. 

Hajiji juga mahu IEM dan semua pihak terus mempromosikan amalan-amalan  kejuruteraan untuk menarik minat lebih ramai golongan muda menceburi bidang  kejuruteraan bagi melahirkan anak jati Sabah yang mampu bersaing di persada dunia.  

Tamat