RM99.05 juta untuk bangun sub sektor ternakan Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM99.05 juta  untuk sub sektor ternakan bagi perbelanjaan mengurus dan pelaksanaan 43 projek  pembangunan yang bertujuan meningkatkan keterjaminan makanan berasaskan  ternakan yang berkualiti serta meningkatkan tahap keselamatan makanan, kata Ketua  Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.  

Katanya, pelbagai program juga dilaksanakan bagi membantu para pengusaha dalam  industri ternakan untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran dan pendapatan pada  tahun ini. 

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus memastikan peranan sokongannya dalam  menyediakan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik bagi  menyokong Agro-integrasi bekalan rantaian nilai makanan.  

“Kerajaan juga akan memastikan semua syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC)  yang terlibat dalam sektor pengeluaran agro-makanan akan saling melengkapi untuk  mencapai sinergi yang optimum”, katanya pada majlis Malam Apresiasi DESA 2024 di  Sabah Intermational Convention Centre (SICC) pada Jumaat. 

Hajiji berkata, syarikat kumpulan DESA telah mencapai pertumbuhan perniagaan yang  stabil dengan kedudukan kewangan yang kukuh sejak tahun 2012 sehingga kini, melalui  pelaksanaan pelbagai pemulihan perniagaan dan strategi penstrukturan semula  kewangan yang sebahagian besarnya dibiayai oleh rizab tunai yang dijana secara  dalaman. 

“Saya percaya ini adalah hasil daripada pengurusan dana dan perancangan strategik  yang sangat berkesan dan cekap oleh lembaga dan pengurusan DESA. DESA kekal  bergerak maju dalam pemodenan dan pembangunan perniagaan serta dapat memberi  pulangan positif kepada pelaburan pemegang saham. Sehingga kini, DESA telah  memberi dividen sebanyak RM30.5 juta kepada Kerajaan Negeri”, katanya. 

Menurutnya, syarikat kumpulan DESA memainkan peranan penting dalam mengubah  sektor pertanian Sabah, terutama sub-sektor ternakan menjadi sektor yang moden,  dinamik dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Beliau percaya, kejayaan DESA mengambil alih Projek Pusat Ternakan Bersepadu  Keningau atau Keningau integrated livestock centre (KILC) daripada Lembaga  Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) pada Julai 2021, dapat  membantu menerajui industri ruminan di negeri ini.  

Katanya, DESA merupakan antara pengeluar utama ayam dan susu segar di Sabah  perlu terus meningkatkan produktiviti dan menghasilkan produk berkualiti,  mengembangkan kapasiti pengeluaran serta teknologi penternakan moden untuk  menyokong ternakan ayam dan ternakan yang intensif serta mampan di negeri ini. 

“Saya percaya ia dapat dilakukan kerana DESA telah melaksanakan projek pemodenan  infrastruktur dan fasiliti pengeluaran di beberapa premis DESA dalam perniagaan  ternakan unggas dengan kos sebanyak RM18 juta sejak 5 tahun lalu. Antaranya ialah  penambahbaikan fasiliti kilang penyembelihan ayam di Lok Kawi, pembinaan semula  dan penambahan kandang ayam moden di Kabang, Papar, pembinaan  perumahaan/kuarters baharu untuk pekerja ladang di Bongawan, selain pemodenan  kandang ayam”, katanya. 

Hajiji berkata, DESA juga telah meningkatkan kapasiti pengeluaran hasil ternakan  tenusu dan agro pelancongan di Mesilau dengan melaksanakan projek pembinaan  tambahan kandang lembu tenusu dengan kos sebanyak RM8 juta yang dilengkapi  dengan peralatan moden bagi memastikan ‘animal welfare’ dan ‘cow comfort’ terjaga,  dengan muatan sehingga 200 ekor lembu.  

Menurutnya, perancangan pembangunan “New Farm Shop” dan penambahan kawasan  aktiviti pelawat serta tempat letak kereta untuk memastikan kemudahan pelawat ke  DESA Dairy Farm dengan belanja sebanyak RM7.8 juta dapat menampung lebih ramai  pelawat yang berkunjung ke kawasan itu. 

Beliau juga mahu DESA terus melaksanakan strategi perniagaan efektif untuk  meningkatkan jualan, menambah nilai jenama DESA dari segi pemasaran, peruncitan  dan kepelbagaian produknya, termasuklah membuka lebih banyak kedai DESA Fresh  Mart (DFM) di negeri ini bagi membolehkan produk DESA mampu dipasarkan kepada  pelanggan dan pengguna dengan lebih meluas.  

Katanya, sejak tahun 2020, 5 buah DFM telah dibuka oleh DESA di Kota Belud, Ranau,  Papar, Tuaran dan Sulaman, manakala di Kudat akan dibuka pada hujung bulan ini serta  di Beaufort dan Tenom pada tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 20  buah kedai DFM, termasuk 1 dairy kiosk (DESA MOO) di Imago Shopping Mall. 

Hajiji berharap Lembaga Pengarah dan Pengurusan Kumpulan DESA terus membantu  dalam membangunkan industri pertanian khususnya pembangunan agromakanan di  Sabah, selain terus melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) khususnya  dalam membantu kebajikan pekerjanya. 

Tamat