Pelbagai inisiatif disedia galak pembayaran tanpa tunai

RANAU: Kerajaan negeri menyediakan pelbagai inisiatif untuk membudayakan  pembayaran tanpa tunai (Cashless Payment) untuk mengupayakan terimaan hasil  negeri seperti pembayaran lesen, permit serta kemudahan awam melalui kaedah tanpa  tunai, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Beliau berkata, antara inisiatit itu termasuklah Aplikasi Sabah Pay yang dilancarkan oleh  Perbadanan Pinjaman Sabah (Sabah Credit Corporation) dan inisiatif terbaharu iaitu  YONO (You Only Need One).  

“Ketika penularan pandemik COVID-19, telah memaksa masyarakat untuk menyakinkan  diri menggunakan aplikasi mudah alih atau mobile app melalukan pembayaran.  Penggunaan Aplikasi Sabah Pay sendiri telah berjaya mengumpul sebanyak RM46  juta sehingga 31 Oktober 2023. 

“Surat pekeliling telah dikeluarkan pada 1 Disember 2022 oleh Kementerian Kewangan  Negeri sebagai panduan untuk agensi-agensi kerajaan yang menyediakan  perkhidmatan C2G (Customer To Government) dan B2G (Business To Government). Antara mod pembayaran yang diterima adalah Kad Kredit, Kad Debit,Kad Caj, eDompet  dan khidmat perbankan internet yang tersedia,” katanya ketika merasmikan Pelancaran  Program E-Duit Desa Komuniti Cashless di Tamu Pagi Kundasang, di sini pada Ahad. 

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Tmbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri  Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam. 

Beliau berkata semua usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri ini adalah demi  kesejahteraan rakyat sekali gus membuktikan keprihatinan bagi membawa  pembangunan dan kemajuan khususnya berkaitan teknologi terkini kepada rakyat. 

“Transaksi tanpa tunai menawarkan banyak manfaat, termasuk kaedah pembayaran  yang lebih mudah, cepat, dan selamat. Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan transaksi  harian tetapi juga menyelesaikan isu lama seperti kekurangan mesin ATM di kawasan  luar bandar. 

“Justeru, dalam memastikan pembayaran tanpa tunai memberi manfaat kepada  kesejahteraan rakyat sejagat, kerajaan negeri dan Persekutuan sentiasa prihatin untuk  memastikan prasarana komunikasi tersedia. Dalam hal ini, usaha dipergiatkan untuk menyiapkan sebanyak 398 menara telekomunikasi di seluruh negeri melalui Pelan  Jalinan Digital Negara (JENDELA) dalam kadar segera,” katanya. 

Mengenai program itu, Hajiji berkata inisiatif Agrobank menerusi program ini selaras  dengan visi kerajaan negeri Sabah untuk meningkatkan penggunaan dan akses kepada  pembayaran digitalisasi di seluruh negeri.  

“Dengan menerima pakai pembayaran digital, ia dapat meningkatkan dan pemantapan  ke arah ekonomi yang lebih cekap dan telus. Justeru, usaha berterusan Agrobank  memperkenalkan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai di Sabah, amat dihargai.  

“Saya berharap Program Komuniti Cashless Kundasang yang bertujuan  mengisytiharkan Ranau sebagai wilayah tanpa tunai dengan mendidik penduduk  tempatan Ranau mengenai penggunaan pembayaran online dan QR, dapat mencapai  matlamat dan mendapat sokongan daripada penduduk di daerah ini.  

“Pada hemat saya, ini adalah antara inisiatif yang amat baik dan saya berharap  Agrobank akan sentiasa merangka dan memperluaskan lagi inisiatif pembayaran tanpa  tunai ini ke kawasan-kawasan lain di Sabah,” katanya. 

Tamat