Kerajaan Negeri komited martabat warisan kebudayaan, kesenian rakyat Sabah

PENAMPANG: Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah akan  melaksanakan beberapa program kebudayaan yang penting pada tahun ini, bagi  memastikan warisan kebudayaan dan kesenian rakyat tempatan dapat dipertahankan  dari generasi ke generasi.  

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, antara program itu  ialah "Pembangunan Komuniti" melalui modul Protokol Budaya Komuniti yang akan  memberi manfaat kepada komuniti pelancongan luar bandar dan badan kebudayaan  dalam meningkatkan pengurusan dan layanan pelancongan budaya yang bertaraf  dunia.  

Selain itu katanya, projek meningkatkan produk pelancongan di Pusat Kebudayaan  Murut Tenom juga akan dilaksanakan pada tahun ini, selain memperkasa Cultural Pit Stop (CPS) yang terletak di Tawau, Kota Belud, Sandakan, Tenom termasuk tiga lagi  lokasi lain iaitu Dataran Wisma Budaya, Ranau dan Keningau. 

"Program-program itu bertujuan memastikan khazanah yang diwarisi ini dapat  dipertahankan dari generasi ke generasi", katanya pada Majlis Penutupan Sambutan  Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2024 di Dewan Hongkod Koisaan KDCA pada  Jumaat.  

Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim menyempurnakan penutupan  pesta itu. Ini merupakan kali kedua Anwar hadir ke Pesta Kaamatan Peringkat Negeri.  

Hajiji berkata, sambutan Pesta Kaamatan amat signifikan dengan usaha Kerajaan  Negeri untuk memartabatkan warisan kebudayaan dan kesenian rakyat tempatan.  

"Kita juga menyedari bahawa kekayaan tradisi budaya dalam kepelbagaian etnik  merupakan aset penting dalam sektor pelancongan yang akan terus dipelihara untuk  diwarisi generasi akan datang". 

"Sebab itu, Kerajaan Negeri amat menyokong usaha mengembangkan dan  mempertahankan budaya serta kesenian setiap etnik menerusi persatuan masing masing agar warisan budaya berharga ini berkekalan", katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Pertanian, Perikanan dan  Industri Makanan Sabah (MAFFI) terus komited dengan usaha meningkatkan tahap sara  diri hasil pertanian terutamanya padi bagi memperkukuh keterjaminan makanan,  khususnya komoditi beras.  

Justeru katanya, pada April lalu Kabinet Negeri bersetuju menghidupkan semula  Lembaga Padi dan Beras Sabah sebagai sebahagian inisiatif meningkatkan  pengeluaran serta keselamatan makanan di negeri ini, selain melaksanakan beberapa  inisiatif lain bagi meningkatkan taraf sara diri atau (SSL).  

Menurutnya, usaha ini termasuklah memberi penekanan kepada pembangunan padi  tanah kering (penanaman padi bukit) pada tahun ini, mamandangkan Jabatan Pertanian  Sabah (JPS) mempunyai sebanyak 404 koleksi aksesi (jenis padi tanah kering) dalam  gen bank janaplasma padi. 

Hajiji berkata, mengikut statistik JPS pada tahun 2021, dianggarkan seluas 13,733  hektar kawasan ditanam padi tanah kering merangkumi 17 buah daerah di seluruh  Sabah antaranya di daerah Ranau, Tongod, Kota Marudu, Penampang, Tuaran,  Nabawan dan Pitas. 

Katanya, perayaan Pesta Kaamatan selain merupakan medan untuk mengetengahkan  budaya dan seni masyarakat KDMR di negeri ini, juga mampu menyatukan semua  rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan budaya di negeri ini. 

"Sebab itu, perpaduan dalam kepelbagaian suku kaum, budaya serta kepercayaan  agama di Sabah adalah aset penting yang perlu dipelihara dan dipertahankan oleh  rakyat negeri ini. Ini kerana keharmonian dan warna-warni kepelbagaian yang  menjadikan Sabah unik serta istimewa selain memiliki keindahan kebudayaan dan  kesenian yang tersendiri". 

"Kita perlu sematkan dalam diri masing-masing bahawa hanya dengan kestabilan dan  perpaduan sahajalah yang mampu membawa sesebuah negara dan rakyatnya maju ke  hadapan sekali gus dihormati dan disegani oleh masyarakat antarabangsa", katanya. 

Tamat