Kerajaan Negeri perkasa “Manufacturing Investment Task Force

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan memperkasa "Manufacturing Investment Task  Force" pada tahun ini untuk memastikan semua cadangan pelaburan yang diluluskan  dapat direalisasi dan dipercepat pelaksanaannya, kata Ketua Menteri, Datuk Seri  Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, sektor perindustrian dan pelaburan terus menjadi pemacu kepada ekonomi  negeri dan telah menyumbang kepada keseluruhan jumlah pelaburan yang  menggalakkan. 

Beliau berkata, pada tahun 2023, Sabah mencatatkan jumlah pelaburan negeri  sebanyak RM11.346 bilion dan berada di kedudukan ketujuh menerima pelaburan  tertinggi di Malaysia.  

“Kerajaan Negeri telah berjaya merancakkan sektor perindustrian dan menggalakkan  lagi pelaburan berkembang dalam rantaian ekonomi”, katanya pada Majlis Pelancaran  dan Perasmian Bursa Marketplace Fair Sabah 2024 di Suria Sabah Shopping Mall pada  Sabtu. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan  Keusahawanan Negeri, Datuk Phoong Jin Zhe. 

Hajiji berkata, pelaburan-pelaburan yang mempunyai impak meluas seperti Syarikat SK  Nexilis Malaysia Sdn. Bhd. telah mengembangkan pelaburan di negeri Sabah melalui  syarikat subsidiarinya, Curix Sdn. Bhd. dalam pembuatan kilang copper granulation di  Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) dengan nilai pelaburan berjumlah RM300 juta.  

Menurutnya, Industri minyak dan gas di negeri Sabah juga sedang berkembang dalam  kedua-dua aktiviti huluan dan hiliran. Kesemua pelaburan ini telah memenuhi  permintaan global semasa yang tinggi serta memberi tumpuan dalam memacu  pertumbuhan secara meluas dan juga peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah.  

Beliau berkata, amat penting rakyat negeri ini didedahkan dengan pendidikan dan celik  kewangan serta mempunyai "minda seorang pelabur", untuk menjadikan kehidupan  lebih baik, menyumbang dalam pembangunan komuniti, dan membantu orang lain  mencapai matlamat yang sama.

Hajiji berkata, berdasarkan kertas penyelidikan mengenai Landskap Pelabur Runcit  Malaysia yang diterbitkan oleh Bursa Malaysia baru-baru ini, responden dari Sabah dan  Sarawak secara amnya mempunyai tahap pemahaman yang agak rendah mengenai  pelaburan saham.  

“Ini menunjukkan betapa pentingnya pendidikan kewangan dalam usaha meningkatkan  tahap kecelikan seseorang dalam pasaran saham”, ujarnya. 

Beliau menegaskan, Kerajaan Negeri komited sepenuhnya terhadap pembangunan  belia kerana mereka merupakan pelaburan terbesar negeri yang harus dididik untuk  menjadi pelabur yang bertanggungjawab dalam dekad yang akan datang. 

Katanya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), lebih separuh atau 52.5%  daripada populasi rakyat Malaysia terdiri daripada generasi Milenium, Gen Z atau lebih  muda dan data daripada Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia  menyatakan Sabah mempunyai bilangan belia kedua tertinggi di Malaysia. 

“Justeru, sekarang adalah waktu yang terbaik untuk membantu memajukan status  kehidupan belia kita. Saya yakin Bursa Marketplace Fair dapat mendidik dan membantu  menyedarkan sifat pelabur bijak, terutama kepada golongan belia kita”, tegasnya. 

Hajiji berkata, sebagai pelabur, yang penting ialah harus belajar bagaimana untuk  mendapatkan dan melindungi modal, selain berjaga-jaga dengan skim penipuan  kewangan yang semakin banyak berlaku saban hari.  

“Seperti yang berlaku di mana-mana seluruh dunia, kebanyakkannya bermula dari diri  kita sendiri. Di sinilah pentingnya peranan Bursa Malaysia kerana mereka mempunyai  banyak panduan serta pelbagai peluang pelaburan yang harus dimanfaatkan oleh para  belia kita”, tegasnya. 

Beliau juga memuji Bursa Malaysia kerana telah mengambil inisiatif untuk memupuk  masyarakat celik kewangan pada usia muda melalui alat gamifikasi mereka, Burmon  Trader.  

Hajiji berharap program Bursa Marketplace Fair 2024 dapat mendedahkan pengunjung  kepada pelbagai alatan digital yang membantu mendidik dan membangunkan pelabur,  seperti MyBursa dan aplikasi Bursa Anywhere.  

Beliau juga mengalu-alukan pelancaran gerbang API Bursa Malaysia baru-baru ini,  memandangkan kadar pemilikan akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) yang masih  rendah di Sabah. 

Tamat