Jabatan Perhutanan perlu terus tingkatkan kutipan hasil hutan

KOTA KINABALU: Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) perlu terus berusaha meningkatkan  kutipan hasil hutan untuk mencapai sasaran RM165 juta yang ditetapkan pada tahun ini, kata  Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, sasaran ini meliputi anggaran pengeluaran hasil hutan sebanyak 920,000 meter padu  daripada kawasan hutan simpan, tanah kerajaan dan juga tanah bergeran, yang bakal mencatat  lebihan hasil sebanyak RM10 juta berbanding hasil kutipan pada tahun 2023.  

Menurutnya, setakat bulan Mac 2024, JPS telah berjaya mengutip sekitar RM39.7 juta atau 24%  daripada sasaran sebenar.  

“Sekiranya momentum ini berterusan, saya yakin Jabatan Perhutanan bukan sahaja dapat  mencapai sasaran kutipan hasil itu, malah mungkin lebih daripadanya. Saya berharap semua  warga kerja JPS bekerja keras untuk memastikan usaha ini tercapai”, katanya pada Majlis  Apresiasi Perhutanan Tahun 2024 di Sabah International Convention Centre (SICC) pada  Jumaat. 

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Masidi  Manjun. 

Beliau juga mahu jabatan itu menerokai lebih banyak peluang penjanaan hasil melalui hutan,  termasuklah aktiviti-aktiviti rekreasi berasaskan hutan, pembayaran perkhidmatan ekosistem  hutan (Payment for Forest Ecosystem Services) dan perdagangan karbon melalui pelaksanaan  Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation Plus (REDD+), bekalan tenaga  hijau dan pengkomersialan hasil penyelidikan.  

Katanya, walaupun tahun lalu JPS berjaya mengutip RM1.647 juta hasil daripada Rekreasi  Hutan iaitu lebih kurang 2% daripada keseluruhan kutipan hasil hutan, namun impaknya sangat  besar kepada usaha konservasi negeri.  

Menurutnya, usaha murni untuk memperkasakan aktiviti rekreasi hutan ini bukan sahaja  membantu konservasi negeri, malah memberikan pilihan rekreasi kepada masyarakat umum  yang mahukan kepelbagaian kawasan untuk dilawati di Sabah. 

Hajiji berkata, sejajar dengan komitmen untuk memperkasakan tatakelola (governance)  terhadap pengurusan hutan secara berkekalan, JPS telah menyasarkan supaya semua  kawasan pengurusan hutan dipersijilkan dibawah mana-mana skim pensijilan yang diterima di  peringkat antarabangsa menjelang tahun 2025 dan setakat ini, seluas 280,616 hektar kawasan  pengurusan hutan telah menerima pensijilan. 

Katanya, dalam menghadapi regulasi perdagangan komoditi yang baru diperkenalkan oleh  Kesatuan Eropah (EU) pada tahun 2022, Kerajaan melalui JPS akan memperkasakan dan  menyemak semula standard Sabah Timber Legality Assurance System (Sabah TLAS) sebagai  due diligence system yang seiring dengan keperluan European Union Deforestation Regulation  (EUDR). 

Beliau berkata, proses pensijilan hutan serta pelaksanaan Sabah TLAS akan dapat menepis  tohmahan sesetengah pihak yang mempersoalkan ketelusan dan akauntabiliti tatakelola  sumber hutan negeri. 

Menurutnya, seiring dengan aspirasi pendigitalan perkhidmatan awam, JPS telah mewujudkan  Pangkalan Data dan Teknologi Geospatial Sumber Hutan Sabah melalui projek pembangunan  biayaan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah di bawah RMK-12.  

“Sistem pangkalan data tersebut telah dibangunkan pada tahun 2023, untuk menyokong  pengurusan sumber hutan yang lebih cekap dan berkesan. Selain itu, satu aplikasi permohonan  pembayaran royalti balak bulat secara atas talian -Sistem Pemeriksaan dan Pentaksiran Royalti  Balak Bulat (SPPR) juga telah dibangunkan di JPS, bertujuan untuk memudahcara sistem  bayaran royalti kepada Kerajaan, disamping memudahkan proses kutipan hasil kepada  Kerajaan”, tegasnya. 

Menyentuh kawasan ladang hutan, Hajiji berkata Kerajaan Sabah menyasarkan seluas 18,000  hektar kawasan ladang hutan untuk dibangunkan setiap tahun, bagi mencapai sasaran 400,000  hektar ladang hutan menjelang tahun 2036, seiring dengan Pelan Tindakan Pembangunan  Ladang Hutan (2022-2036).  

“Justeru itu, saya menyeru kepada semua pengusaha pengurusan hutan mampan iaitu  pemegang lesen Sustainable Forest Management Licence Agreement (SFMLA), terutamanya  mereka yang terlibat dengan pembangunan ladang hutan, untuk mempergiatkan lagi usaha  untuk mencapai sasaran tanaman di kawasan masing-masing, bagi memastikan agenda ini  terlaksana dengan jayanya”, katanya. 

Beliau berkata, jabatan itu juga sedang menjalankan kajian rantaian nilai ekonomi (Economic  Value Chain (EVC)) untuk menyokong pembangunan industri kayu kayan di Sabah dengan  pembangunan dinilai dari segi ketersediaan bekalan kayu balak yang mencukupi dan  bagaimana industri perkayuan di peringkat hiliran perlu melakukan perubahan untuk  menghasilkan produk yang bernilai tambah.  

Sehubungan itu Hajiji mahu JPS mengenal pasti beberapa kluster industri perkayuan di Sabah  yang boleh dibangunkan sesuai dengan ketersediaan bekalan bahan mentah khususnya kayu  tanaman seperti Acacia, Eucalyptus, Batai, Laran dan juga getah. 

“Ini bagi mempastikan agar kos pemprosesan termasuklah berkaitan dengan pengangkutan  akan dapat dikurangkan dan menjamin pulangan yang baik kepada industri”, ujarnya. 

Tamat